
Pengarah filem Bulan & Pria Terhebat, Ghaz Abu Bakar menganggap ada hikmah apabila filem arahannya itu ditayangkan di saluran Astro First.
Ujar Ghaz, biarpun agak kecewa kerana, namun ia tetap melihatnya dari sudut positif.
“Agak kecewa sebenarnya kerana saya tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak ketawa bersama penonton tapi terpaksa saya terpaksa melihat dari segi positif mungkin ada hikmahnya.
“Perkara yang saya paling risaukan ialah isu piracy akan cepat berlaku bila ada digital streaming ini. Saya harap pihak distributor (pengedar) akan betul-betul memantau perkara ini. Tetapi yang pastinya filem ini akan mendapat “reach out” yg luas apabila ditayangkan di Astro First,” ujarnya.
Sebelum ini, filem berkenaan pernah ditayangkan di pawagam pada Mac tahun lalu, namun hanya selama enam hari berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.
Pada masa sama, Ghaz juga berharap agar ramai penonton melanggan dapat melanggan berulang kali dan memberikan pandangan yang baik untuk dia terus berkarya dan menghasilkan yang lebih bermutu.
Sementara itu, pelakon utamanya iaitu Zahirah MacWilson pula menyatakan dalam keadaan sekarang ini memang ada kebaikan dan keburukan apabila ditayangkan di platform televisyen.

“Saya rasa ada kebaikan dan keburukan. Dari sudu kebaikan, senang untuk penonton dapat mengakses filem ini dari kediaman sendiri, tetapi di sisi lain saya berpendapat bahawa ia merupakan ‘faktor sosial’ yang telah diambil dari kita.
“Sekarang ini kita tidak lagi boleh keluar dan bertemu dengan rakan-rakan untuk menikmati filem di luar seperti biasa,” jelasnya.
Menurutnya, apa pun demi keselamatan, ia adalah sesuatu yang harus penonton korbankan dan merupakan ‘blessing in disguise’ kerana penonton sekarang sudah mempunyai teknologi tv untuk terus menikmati filem.
Filem Bulan & Pria Terhebat sudah mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 11 Mac lalu. – KopiPlanet.com