
Tajuk: Peransang Rentap
Tayangan: 2 November 2017
Durasi: 1 Jam 48 Minit
Pengarah: Lina Johor
Pelakon: Diana Johor, Vincent Mallang Alfred, Charlmay, Ethel Lampai, Emmanuel Reuben, Richard Martias, Bruce Walker dan Iwan Dasri.
Klasifikasi: P13
Kepahlawanan Rentap sememangnya dikagumi setiap rakyat Malaysia, terutama sekali orang-orang Sarawak berketurunan Iban. Malah, namanya terus mekar dalam sejarah tanah air sebagai pejuang negara suatu ketika dahulu.
Bertitik tolak dari itu, penerbit filem Peransang Rentap iaitu Unique Twins Sdn. Bhd. mengambil semangat kepahlawanan Rentap untuk dijadikan intipati filem tersebut.
Pada dasarnya, filem ini menceritakan kisah cinta melibatkan kaum Iban di Sarawak. Terkenal dengan sopan dan santunnya, masyarakat Iban sememangnya dikenali mempunyai pelbagai adat resam yang sudah diamalkan sejak dulu lagi.
Filem ini ada kelainannya yang tersendiri apabila mengangkat bahasa, pakaian dan cara percintaan orang Iban. Ia boleh diibaratkan seperti kisah cinta Romeo dan Juliet versi Iban, yang mana ia wajib ditonton orang yang sedang hangat dilamun cinta.
Selain Diana, kesemua pelakon dalam filem ini merupakan anak jati bumi Kenyalang dan kesemua lokasi penggambaran filem ini dilakukan di Sarawak.

Peransang Rentap mengisahkan mengenai Jenang (Vincent Mallang), seorang pemuda yang ditugaskan menyampaikan perutusan Rentap untuk memerangi penjajah British.
Dalam perjalanannya menyampaikan perutusan kepada semua ketua kampung di Sarawak, Jenang telah jatuh cinta dengan seorang gadis cantik dari kampung seberang, Entiang (Diana Johor).
Saling menyukai di antara satu sama lain, namun percintaan mereka terhalang apabila Entiang sudah dijanjikan mahu dikahwinkan dengan Jambai (Charlmay).
Jambai yang berang dengan perkhabaran wanita idamannya itu sedang dilamun cinta dengan Jenang kemudiannya telah mencetuskan satu insiden menyayat hati.
Berang dengan kerja kotor Jambai, Jenang mengambil semangat kepahlawanan Rentap berdepan musuhnya, yang menghalang cinta suci pemuda itu terhadap wanita yang dikasihinya.
Kedua-dua Jenang dan Jambai beradu tenaga di akhir cerita, namun akhirnya siapakah yang berjaya memenangi pertarungan hidup dan mati itu? Sama-sama saksikan Peransang Rentap yang akan ditayangkan bermula esok di 63 pawagam seluruh negara. – KopiPlanet.com