Percepatkan Tarikh Pernikahan, Elisya Sandha & Uzair Kini Bergelar Pasangan Suami Isteri
Pelakon popular Elisya Sandha kini sudah sah bergelar isteri kepada Uzair Haqimy setelah bernikah dalam satu acara yang ringkas.
Pasangan berkenaan diijabkabulkan kira kira jam 3.11 petang tadi yang berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak (PAID) dengan berwalikan bapa Elisya, Mohd Faisal Abdullah.
Pada majlis ringkas mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu, Elisya telah menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas putih daripada Uzair yang bekerja sebagai pengurus produksi.
“Majlis pada asalnya dirancang pada 22 Februari 2022 dan memang perancangan bernikah hari ini berlangsung pada minit akhir. Apabila dapat saja tarikh nikah dua minggu lalu, saya dan suami memulakan persiapan kahwin serba sederhana.
“Dengan situasi pandemik Covid-19 yang tak boleh dijangka dan peningkatan kes harian mendadak naik, segala segalanya perlu dipercepatkan, termasuk dalam soal membina masjid ini. Kita dahulukan yang wajib dahulu,” jelasnya.
Elisya berkata, dia dan suami merancang untuk mengadakan majlis keraian di kampung halamannya di Perlis meskipun belum ada tarikh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan memberitahu bahawa mereka juga merancang untuk tinggal di rumah yang dibeli suaminya.
“Cuma kami akan habiskan masa dulu dengan keluarga. Lepas itu baru fikir nak pindah ke rumah berkenaan,” katanya.
Ditanya mengenai suaminya yang menjadi pilihan hatinya untuk menjadi suaminya, Elisya menyifatkan Uzair sangat bertanggungjawab.
“Paling utama yang membuatkan saya tertarik kepada Uzair adalah sikapnya menjaga dan menyayangi keluarganya. Itu antara ciri yang saya lihat menjadi jaminan dia boleh menjaga saya dengan baik.
“InsyaAllah… Dia juga rajin bekerja dan menghormati orang tua. Kami juga mengharungi pelbagai ujian hidup bersama sejak dulu,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Elisya yang anggun mengenakan persalinan daripada Teh Firdaus dan ditatarias Datuk Alha Alfa turut memaklumkan yang dia menerima wang hantaran berjumlah RM22,222.22.
Selain itu, Elisya yang turut mengenakan barang kemas tajaan Habib Jewels menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima.
Menariknya, majlis nikah petang tadi juga dipancarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom membabitkan adik beradik, sanak saudara dan rakan rapat. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: @amirnaufalphotography
* Jom klik link Telegram https://t.me/KopiPlanet & subscribe untuk mengetahui cerita2 terbaharu dunia hiburan