Cerita ArtisHiburan

Perisai Cinta Buah Tangan Baharu Liza Hanim, Erti Tersirat Suara Hati Wanita

Selepas mengadakan konsert sulungnya beberapa bulan lalu, bintang bersuara hebat Liza Hanim tampil dengan sebuah lagi karya balada bertajuk “Perisai Cinta”.

Liza yang sememangnya tersohor kerana ketangkasannya membawa lagu-lagu bergenre sedemikian, berkongsi erti di balik lagu itu yang juga runut bunyi asli sebuah drama bersiri.

“Lagu ini adalah runut bunyi asli drama bersiri berjudul ‘Ternyata Sebuah Bahagia’ lakonan Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim dan Elvina Mohamad.

“Menurut pihak penerbitan kisah dalam lagu ini adalah suara hati watak wanita utama drama tersebut yang bernama Janice, lakonan Sarimah Ibrahim.

“Namun bagi saya lagu ini mempunyai dua maksud. Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihatnya sebagai sebuah lagu yang mempunyai pesan ketuhanan. Ini kerana lagu ini menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap yang kita lakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti kita perlu bergantung pada seseorang manusia.

“Dalam lagu ini manusia yang dimaksudkan itu adalah seorang lelaki harapan watak wanita utama tersebut. Namun kala dia sedar bahawa lelaki itu juga punya nafsu dan mampu lalai dan alpa, dia akan sedar satu-satunya tempat bergantung adalah Allah Taala dan bukan manusia biasa,” ujar Liza menjelaskan erti lagu ini dengan panjang lebar.

Untuk projek ini, ia merupakan kali pertama beliau bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq Azeman selaku pencipta dan penulis lagu.

“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muzik beliau seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian namun peluang itu tidak pernah ada sebelum ini. Jadi saat dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama bertemu dengannya.

“Kalau Shazriq Azeman pula, saya pernah berjumpa dengannya di pentas “All Together Now”, namun ini kali pertama juga kami bekerjasama.

“Lebih memudahkan kerja adalah mereka berdua sangat menghormati dan berbudi bahasa. Jadi rakaman berjalan dengan sangat lancar dan mudah. Lagipun saya datang dengan penuh semangat seperti setiap rakaman saya sebelum ini.

“Saya sudah hafal lagu dan faham jalan ceritanya. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya anggap lagu ini ada keajaiban tersendiri kerana ia begitu cepat untuk diselesaikan. Saya dapat menangkap intipati lagu ini dengan cepat dan sekitar 45 minit sahaja semuanya sudah selesai!”, tambah Liza lagi.

Harapan Liza adalah semoga lagu ini mendapat sambutan dan mampu memberikan kesan kepada semua yang mendengar, khasnya para peminatnya yang sedia ada dan mungkin peminat-peminat baharunya.

“Semoga lagu ini mendapat tempat di hati semua,” ucap Liza mengakhiri bicara.

Bakal dikeluarkan pada tarikh 6 September 2024 , “Perisai Cinta” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button