FilemTerkini

Perjalanan Pertama Langkah Permulaan D’Ayu Pictures Tembusi Pasaran Filem Di Indonesia

Filem kekeluargaan Perjalanan Pertama merupakan langkah permulaan buat syarikat produksi Malaysia, D’Ayu Pictures untuk cuba menembusi pasaran perfileman Indonesia.

Penerbitnya, Dato’ Rosmarayu Mokhtar berkata, filem pertama terbitan syarikatnya itu merupakan usahasama bersama syarikat produksi Indonesia, Mahakarya Pictures.

“Orang tanya kenapa saya berani buat pelaburan yang besar untuk menerbitkan filem ini.

“Tujuan utama saya adalah untuk mengetahui sendiri tentang proses pembikinan serta pasaran filem di Indonesia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas selesai majlis pratonton filem berkenaan yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai pembikinan filem, Rosmarayu memberitahu ia menelan kos sebanyak RM1.75 juta, manakala penggambaran pula dilakukan di Bukit Tinggi, Indonesia.

Filem Perjalanan Pertama akan ditayangkan di pawagam di seluruh Indonesia pada 14 Julai ini, manakala tayangan di Malaysia pula adalah pada 18 Ogos akan datang.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pembikinan filem ini, malah sebagai pelabur kami memang terbabit sejak daripada pra produksi, skrip, penggambaran sehinggalah filem ini siap sepenuhnya. 

“Apa yang menariknya, Perjalanan Pertama juga akan ditayangkan di 400 pawagam atau skrin di seluruh Indonesia bermula pada 14 Julai ini dan di Malaysia pula bakal menemui penonton pada 18 Ogos akan datang,” jelasnya.

Sebagai sebuah filem kolaborasi Malaysia dan Indonesia, Perjalanan Pertama menampilkan dua pelakon utama kedua-dua negara berkenaan iaitu Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan pelakon kanak-kanak popular Indonesia, Muzakki Ramdhan.

Ahmad Tamimi Siregar (Malaysia) dan Muzakki Ramdhan (Indonesia) merupakan dua tunjang utama yang membintangi Perjalanan Pertama, filem usahasama D’Ayu Pictures dan Mahakarya Pictures.

Selain itu, ia turut dibintangi beberapa pelakon popular lain seperti Randy Pangalila, Adinda Thomas, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra.

Perjalanan Pertama yang diarahkan pengarah Arief Malinmudo mengisahkan tentang Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya. 

Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya. Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

Dalam pada itu, Rosmarayu memberitahu syarikat D’Ayu Pictures dan Mahakarya Pictures bakal menerbitkan filem kedua iaitu sebuah filem thriller yang menjalani penggambaran di Jakarta, Indonesia pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau menyatakan syarikatnya itu juga sudah pun siap menghasilkan sebuah filem tempatan berjudul Daddyku Gangster. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button