
Lagu Pesanan Ayahanda Buat Sissy Imann Rasa Lebih Bermakna
Setelah hampir lima tahun berkecimpung dalam industri muzik, penyanyi Sissy Imann mengakui bahawa single terbaharu berjudul Pesanan Ayahanda membuatkan dirinya rasa lebih bermakna dan dihargai menerusi lagu tersebut.
Menurut penyanyi berusia 24 tahun itu, lagu berkenaan lebih berkisarkan tentang percintaaan yang melibatkan pesanan dan nasihat daripada bapa.
“Lagu Pesanan Ayahanda sangat bermakna kerana saya dapat mengabadikan hubungan antara anak dan ayah serta impian saya untuk hasil lagu berkaitan tentang seorang bapa.
“Sebenarnya, saya rapat dengan ayahanda sewaktu kecil dan disebabkan itu saya sentiasa dengar pendapat serta nasihat daripada ayahanda. Selain itu, apa-apa keputusan yang dibuat oleh saya, ayah yang selalu sokong.
“Apa-apa yang dilakukan oleh saya pasti akan diberitahu kepada ayah dahulu dan hal tersebut sebenarnya membuatkan beliau sentiasa ada di sisi walaupun di mana saya berada sekalipun,” kata Sissy kepada Kopiplanet.com.
Sissy ditemui di majlis pelancaran single dan video muzik Pesanan Ayahanda yang berlangsung di Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara, Selangor, semalam.
Sementara itu, Sissy turut menjelaskan bahawa dirinya bukanlah dikawal oleh ayahnya. Malah, ayahnya sendiri adalah seorang yang santai dan begitu selesa untuk bercerita terutamanya berkenaan peribadi.
“Setakat ini ayah tak pernah lagi reject kalau saya kenalkan seseorang. Cuma ayah akan beri nasihat dan apa-apa perkara saya sendiri akan rujuk kepada kepadanya.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya masih single dan mahu memberi tumpuan dalam bidang nyanyian serta kerjaya sekarang dahulu sebagai guru muzik (guru piano),” ujarnya. – KopiPlanet.com
Artikel: Fatin & Syafikah
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana