Tajuk: Pinjamkan Hatiku
Tayangan: 30 November 2017
Durasi: 1 Jam 59 minit
Genre: Drama/Romance
Pengarah: Osman Ali
Pelakon: Ayda Jebat, Shaheizy Sam, Farid Kamil, Lia Natalia, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Daim, Zul, Naza Manas
Klasifikasi: P13
Apabila tiga hati mengurai cinta sejati, sejauh manakah satu jiwa mampu bertahan?
Selepas cemerlang dengan filem Ombak Rindu, Osman Ali kini kembali dengan filem romantis terbaharu, Pinjamkan Hatiku yang mempertaruhkan pelakon berbakat besar, Shaheizy Sam, Farid Kamil dan kemunculan pertama Ayda Jebat di layar perak.
Pinjamkan Hatiku berjaya mencipta babak-babak romantis dengan pemandangan latar belakang yang sangat cantik dan saujana mata memandang seperti di Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing, Pahang dan di sebuah kaki gunung di Kedah.
Berkisarkan mengenai seorang gadis bergelar novelis, Laila Safitri kembali ke kampung halamannya sebelum berjumpa semula dengan rakan lamanya, Naufal yang sering kali mengusiknya sejak di alam persekolahan.
Sepanjang berada di kampung, Laila sering kali menghabiskan masa bersama Naufal sebelum cinta kemudiannya mula berputik di antara kedua-duanya.
Bibit-bibit cinta yang timbul di antara mereka sedikit sebanyak membuatkan Laila lupa akan segala pahit dan kesakitan yang dialami dengan kehadiran Naufal. Begitu juga dengan Naufal. Mereka seperti saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain.
Gelak tawa dan riang bersama menjadi makanan harian mereka sehingga datangnya seorang pemuda, Dr Hasnan yang merubah segala corak cerita cinta Laila dan Naufal.
Garapan Osman kali ini cukup meruntun jiwa apabila berjaya ‘merentap’ hati penonton sehinggakan ada beberapa babak mampu menitiskan air mata.
Walaupun ini merupakan filem pertama lakonan Ayda, namun selebriti popular ini berjaya mencorakkan wataknya dengan cukup baik dari segi emosi memandangkan filem ini sarat dengan konfliknya yang tersendiri.
Lakonan Sam dan Farid memang ‘A class’! Beri apa sahaja watak pasti mampu dilaksanakannya dengan sebaik mungkin oleh mereka.
Lebih-lebih lagi Sam yang sanggup menurunkan berat badannya berbelas-belas kilogram bagi menjayakan wataknya sebagai Naufal.
Hanya mengambil dua bulan sahaja bagi mendapatkan berat badan tersebut, ia pastinya menjadi satu pencapaian yang besar buat Sam sepanjang lebih 20 tahun terlibat dalam bidang seni lakon.
Untuk Farid pula, lakonannya dalam Pinjamkan Hatiku menunjukkan sisi matangnya sejajar dengan wataknya sebagai seorang doktor dalam filem terbitan Aura White dan Nuansa Film ini.
Kesemua pelakon mendapat hasil tunjuk ajar daripada ‘acting coach’, Fauziah Ahmad Daud bagi menterjemahkan karakter seperti yang dituntut dalam skrip.
Secara keseluruhannya, Pinjamkan Hatiku wajib ditonton khasnya buat peminat filem tempatan yang mendambakan filem romantis seperti Ombak Rindu yang berjaya mencipta fenomena tersendiri enam tahun lalu. Jangan lupa 30 November ini tonton Pinjamkan Hatiku! – KopiPlanet.com