Rancangan TVTV

Program ‘Angeline Tanya Abang Jawab’ Menjawab Kemusykilan Mualaf

Stesen TV AlHijrah dengan bangganya memperkenalkan program baharu yang dinanti-nantikan iaitu Angeline Tanya Abang Jawab, sebuah rancangan interaktif santai  yang menggabungkan agama, hiburan dan pendidikan, serta  bertujuan memberikan bimbingan kepada Saudara Baharu untuk mendalami asas agama Islam. 

Program ini akan disiarkan bermula 18 September, setiap Rabu, jam 8.30 malam, dan menampilkan pelakon terkenal Angeline Tan dan suaminya, Sabri Yunus yang saling berinteraksi melalui soalan-soalan berkaitan pelbagai isu agama, kehidupan dan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah memikul tanggung jawab besar dalam menyantuni golongan Saudara Baharu di Malaysia.

“Dakwah di platform penyiaran TV AlHijrah dilihat mampu mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah pada zaman kini. Oleh itu, program ini diterbitkan untuk memberikan pandangan yang mendalam mengenai nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan, sambil menjadikan proses pembelajaran buat golongan mualaf menjadi lebih menyeronokkan. 

“Setiap persoalan yang diajukan oleh Angeline kepada Sabri Yunus adalah persoalan yang kerap kali dibangkitkan oleh golongan mualaf seperti perihal fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab dalam rumahtangga dan keluarga, kefahaman dan amalan ibadah, etika pemakaian dalam Islam, hubungan sesama Islam dan bukan Islam serta banyak lagi topik lain.

“Setiap episod program ini diharapkan dapat menyampaikan pesan-pesan kebaikan secara jelas dan mempromosikan keharmonian dalam keluarga Muslim. Dengan penggabungan elemen-elemen itu, program ini diharapkan dapat memenuhi keperluan penonton dan masyarakat yang ingin mendalami ajaran agama Islam sambil merasai kedekatan kekeluargaan yang lebih menyenangkan.

“Dengan adanya unsur humor yang diselitkan secara bijak oleh Sabri Yunus, serta penerangan daripada barisan asatizah, kami yakin konsep kebaikan dan cinta kasih Islam akan terserap dengan lebih baik oleh penonton,” jelas Namanzee.

Beliau berkata, setiap episod program ini menampilkan segmen di mana Angeline, bersama panel pakar jemputan, membincangkan topik-topik yang relevan, memberikan perspektif yang mudah difahami serta penyelesaian praktikal berlandaskan ajaran Islam.

Barisan asatizah dan ilmuan yang yang terbabit dalam menjawab soalan-soalan yang ditanyakan Angeline Tan antaranya Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Azhar Ghazali, Ustaz Zul Ramli, Imam Muda Asyraf  dan ramai lagi.

Menariknya, setiap episod program Angeline Tanya Abang Jawab disusun dengan kemas untuk merangkumi isu-isu yang sering dihadapi oleh masyarakat terutama golongan mualaf, seperti hal-hal kekeluargaan, akhlak, perhubungan, serta panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.

Walau diterbitkan khusus untuk Saudara Baru, namun Program Angeline Tanya Abang Jawab ini juga sangat digalakkan untuk ditonton seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga yang ingin mendapatkan pencerahan mengenai pelbagai isu kehidupan seharian dan panduan dalam menjalani kehidupan berteraskan nilai-nilai Islam.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan siaran perdana Angeline Tanya Abang Jawab pada 18 September akan datang hanya di TV AlHijrah. Rancangan ini juga akan disiarkan di multi-platform termasuk di aplikasi AlHijrah Plus dan media sosial.

Program Angeline Tanya Abang Jawab bakal ditayangkan sebanyak 13 episod, manakala ulangannya pula akan ditayangkan sebanyak empat kali seminggu.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, layari laman sesawang TV AlHijrah atau ikuti saluran media sosial TV AlHijrah. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button