Cerita ArtisHiburan

Radi Ceritakan Pengalaman Kisah Cinta Sendiri Menerusi Single Baharu Maybe

Menggunakan pengalaman yang pernah dirasai dirinya sendiri, penyanyi muda yang sedang membina nama, RADi, tampil dengan single Bahasa Inggeris pertama berjudul “Maybe”.

Menurut RADi, dia merasakan lagu ini mempunyai nilai dan kualiti tersendiri, tambahan lagi kisah cinta yang tersulam dalam liriknya boleh dikaitkan dengan pengalaman ramai orang.

“Untuk penceritaan lagu ini, ia berbalik kepada satu kisah yang pernah saya lalui dahulu ketika saya menemui seorang gadis. Saya berjumpanya hanya sekali, tapi tak boleh berhenti memikirkannya. 

“Pada suatu hari, pukul enam pagi, saya masuk ke studio, ambil gitar dan terus rakamkan sedikit demo awal. Apabila saya dengarkan kembali rakaman itu, saya rasa ia adalah satu lagu komersial yang bagus, baik dari segi melodi, lirik dan semuanya dari mula hingga akhir,” ujarnya.

Mengulas lanjut, RADi menyifatkan “Maybe?” mempunyai kisah seperti kejadian cinta pandang pertama. Selepas melihat ‘crush’, pelbagai perkara boleh terlintas di fikiran. 

Jelasnya, kisah “Maybe?” juga diumpamakan seperti cerita cinta komedi romantik yang dipersembahkan dalam bentuk lagu.

“Judul “Maybe?” menggambarkan perasaan kita yang tertanya-tanya bila lepas berjumpa seseorang. Hati pun senang saja walaupun baru berjumpa beberapa kali, tapi kita sudah menaruh perasaan terhadapnya. Kemudian kita fikir pula, adakah ia terlalu cepat?

“Penjelasan yang lebih ringkas tentang situasi sebegitu adalah ‘cinta pandang pertama’, namun ayat itu sudah agak klise.

“Apa yang saya harapkan para pendengar rasa apabila mendengar lagu ini adalah perasaan cinta dan bagaimana rasanya kalau kita menyukai seseorang. Ia seperti kisah komedi romantik yang diinterpretasikan ke dalam sebuah lagu,” jelasnya.

Untuk seorang penyanyi yang berbakat dalam menulis dan penghasilan lagu seperti RADi, semestinya dia tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk melengkapkan sesebuah karya, selagi kesungguhan dan disiplin mengukuh dalam diri.

“Saya ambil masa selama dua hari untuk menyiapkan keseluruhan melodi dan lirik. Kemudian, saya dan produser bersama, Zain menambah bunyian dari instrumen serta elemen romantis. Secara keseluruhan, boleh dikatakan semua proses siap dalam dua minggu.

“Konsep muzik lagu ini dicipta dengan penuh teliti, jadi para pendengar boleh menghayati rasa seperti sedang dibuai cinta. Ya, lagu ini mungkin kedengaran seperti lagu pop tipikal, tapi keistimewaannya adalah penceritaan yang tersendiri,” katanya.

Setiap penyanyi tentunya mengharapkan lagu atau karya mereka diterima baik oleh peminat setelah bertungkus lumus menyiapkannya dengan sempurna. 

Bagi RADi yang juga adik kepada penyanyi popular Aisha Retno ini, dia berharap agar lagu “Maybe?” boleh menjadi sebahagian daripada hidup para pendengar dengan mengaitkan kisah cinta masing-masing.

 “Saya harap, para pendengar menerima lagu ini dengan hati dan tangan yang terbuka, serta boleh gembira mendengarkannya. Mereka juga boleh berkongsi lagu ini kepada pasangan untuk sama mendengar. 

“Untuk yang pemalu pula, anda boleh menggunakan lagu ini sebagai tafsiran perasaan cinta terhadap seseorang tanpa menuturkannya.

“Apa yang penting, lagu ini bukanlah untuk saya, sebaik dilancarkan, ia menjadi milik semua yang mendengar. Ya, ia milik anda. Gunakan imaginasi dan lakarlah kisah anda sendiri berdasarkan lagu “Maybe?”,” katanya lagi.

Memandangkan “Maybe?” merupakan debut Radityo untuk lagu Bahasa Inggeris, dia tidak lupa mendedikasikan kata-kata penghargaan buat peminat yang setia menyokong dan ternanti-nanti akan buah tangan terbaru daripadanya.

“Terima kasih kerana sudi menanti dan meluangkan masa untuk mendengarkan lagu saya. Saya sangat menghargai dan sayang akan anda semua. Beginilah saya menunjukkan rasa cinta kepada setiap seorang daripada anda, terimalah “Maybe?”,” katanya menutup bicara.

Lagu “Maybe?” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button