Rasa Dipermainkan, Nizam EYE Menyesal Sertai Gema Gegar Vaganza 1
Vokalis kumpulan EYE, Izam mengakui keputusannya menyertai Gema Gegar Vaganza musim pertama (GGV 1) adalah satu kesilapan besar yang pernah dilakukannya sepanjang hampir 25 tahun menceburkan diri dalam bidang seni.
Menurut Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Mohd Arshad, 50, dia percaya pemilihannya sebagai 12 bintang GGV 1 adalah sekadar bagi melengkapkan senarai peserta sebelum dirinya diumumkan tersingkir pada episod awal program tersebut.
“Saya buat silap besar dengan menyertai GGV 1. Patutlah saya lepas sahaja masuk tanpa perlu melalui sesi uji bakat, rupa-rupanya mereka (pihak produksi) memang dah atur siapa yang keluar awal dan sebagainya.
“Sedangkan komen juri profesional yang menilai pada minggu saya tersingkir itu berikan maklum balas positif di atas persembahan saya, bertentangan dengan keputusan di penghujung rancangan,” luahnya kepada KopiPlanet.com.
Izam ditemui pada majlis sidang media Havoc Raya yang diadakan di Sireh Pinang Hall, Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, Izam turut mengakui penglibatannya dalam program realiti nyanyian terbabit tidak langsung meninggalkan impak positif terhadap karier nyanyiannya.
Enggan lagi menoleh ke belakang, Izam bakal tampil dengan kesemua anggota asal EYE menerusi satu showcase yang bakal diadakan di Cheras Sentral Mall pada 18 Ogos ini.
“EYE tidak pernah berpecah malah kami masih lagi kekal dengan lima ahli asal.
“Rakaman video aksi EYE menghiburkan peminat di Kuantan yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berjaya memperoleh tiga juta like.
“Itu membuktikan kumpulan ini masih mempunyai pengikut walaupun anggotanya sudah berusia,” jelasnya. – KopiPlanet.com