
Replika Gergasi Baju Melayu Bulan Bintang bersaiz 12 kaki yang diletakkan di pop up store di hadapan The Starhill ternyata mencetuskan kontroversi sehingga ada segelintir yang beranggapan dia seperti patung berhala.
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi menafikan tanggapan tersebut sambil menyatakan replika berkenaan adalah sebahagian daripada cara mereka untuk mempromosikan budaya Melayu di kawasan yang menjadi tempat tumpuan pelancong.
“Mengenai replika gergasi, saya dapat dua jenis maklum balas. Memang ada segelintir yang mengecam, tetapi lebih ramai yang berbangga dan memberi respons baik serta menghargai usaha kami mempromosikan budaya tradisi Melayu dan Malaysia.
“Lagipun ada juga jenama luar negara yang mempunyai replika gergasi produk mereka seperti beg tangan dan kasut. Jadi, kenapa jenama tempatan seperti kami tidak boleh buat perkara yang sama,” jelasnya.
Jelas Azzim, idea untuk membina replika tersebut datang daripadanya sendiri sebagai satu strategi mempromosikan Baju Melayu kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
Menurutnya lagi, replika yang dipamerkan itu bukan semata-mata untuk mempromosikan jenama miliknya dan ia sebenarnya lebih kepada memperkenalkan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Dekat replika itu pun, saya tidak terlalu mempromosikan jenama saya dan lebih menekankan Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang dipakai untuk menyambut perayaan,” jelasnya.
Sementara itu, jenama Bulan Bintang kini mengadakan pop-up khas selama 13 hari di The Starhill, Kuala Lumpur, dari 12 hingga 23 Mac.
Pada majlis pelancaran yang berlangsung semalam, turut diadakan sesi meet and greet bersama empat duta jenama mereka, iaitu Syafiq Kyle, Shukri Yahya, Nadhir Nassar, dan Mierul Aiman. – KopiPlanet.com