Saif Ali Khan Mahu Semua Anaknya Terlibat Dalam Bidang Seni
Dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga seniman membuatkan Ibrahim Ali Khan bakal mengikut jejak ayah dan ibunya untuk terjun dalam bidang seni sebagai pelakon.
Tidak dinafikan ramai yang berharap Ibrahim akan membuat penampilan sulung di layar perak dan perkara ini turut disokong oleh bapanya, Saif Ali Khan.
Dalam sebuah wawancara baru-baru ini, Saif mengakui dia memang mahu Ibrahim menjadi pelakon dan anaknya itu kini dikatakan sudah bersedia.
“Nampaknya Ibrahim sudah bersiap sedia untuk bergelar pelakon. Saya akan bahagia kalau semua anak-anak saya terjun ke bidang lakonan. Ini adalah tempat terbaik untuk bekerja.
“Ketika berusia 17 tahun, kehidupan saya kacau-bilau dan lakonan yang menyelamatkan diri saya. Apabila mempunyai pekerjaan, saya berasa puas dan bahagia,” jelasnya.
Mengenai Ibrahim pula, Saif beranggapan anaknya itu memang wajar menjadi pelakon. Selain ada darah lakonan, pelakon berkenaan juga menyatakan anaknya mempunyai rupa paras yang menarik.
“Dia harus terjun ke dunia Bollywood. Dia kacak… malah lebih kacak daripada saya. Kami adalah keluarga pelakon, semua anggota keluarga kami terlibat dalam bidang seni,” ujarnya. – KopiPlanet.com