
Sakit Telinga, Celine Dion Terpaksa Tunda Konsert Di Vegas
Penyanyi bersuara merdu, Celine Dion terpaksa menunda siri konsertnya di Las Vegas pada bulan Mac dan April ini berikutan mengalami masalah kesihatan di bahagian telinga.
Keputusan itu terpaksa diambil kerana keadaan kesihatannya semakin membimbangkan apabila Celine dipercayai mengalami masalah Patuluous Eustachian yang mana memberi kesan terhadap nyanyiannya.
“Penyakit yang dialami Celine di bahagian telinga itu menyebabkannya mengalami kesukaran untuk menyanyi.
“Celine dijangka akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat bagi merawat penyakit itu,” kata pihak pengurusannya.
Konsert Celine yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 27 Mac hingga 18 April ini telah dibawa ke satu tarikh baharu iaitu bermula 22 Mei depan.
“Saya sangat mengharapkan untuk dapat menghiburkan anda semua. Tapi keadaan tidak mengizinkan dan saya mohon maaf kepada semua yang telah merancang untuk pergi ke konsert di Las Vegas. Saya tahu anda kecewa dan saya benar-benar mohon maaf,” kata Celine dalam kenyataan media.
Penyanyi berusia 50 tahun itu dikatakan mengalami sakit telinga sejak setahun lalu dan hanya menggunakan ubat titis bagi mengubatinya.
Namun dia terpaksa melakukan pembedahan berikutan ubat yang diambilnya itu tidak lagi berkesan merawat kesakitan tersebut. – KopiPlanet.com