
Saluran Astro Warna Mohon Maaf Isu Program Temubual Berkenaan Rogol, Tidak Akan Kompromi Babitkan Gangguan Seksual & Diskriminasi Wanita
Saluran komedi popular, Astro Warna telah tampil memohon maaf berikutan penyebaran klip sensasi dari program temubual Rumah No. 107 yang tiba-tiba menjadi viral baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan yang diberikan kepada portal Astro Gempak, pihak saluran tersebut memandang serius mengenai isu berkenaan dan tidak berkompromi dalam hal melibatkan gangguan seksual dan diskriminasi wanita.
“Baru-baru ini tular di platform media sosial mengenai klip video salah sebuah program terbitan Astro Warna iaitu Rumah No. 107.
“Kami di Astro Warna ingin menegaskan bahawa kami memandang serius akan perkara ini. Kami sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi ke atas wanita, sama ada dari segi perbuatan mahupun tutur kata (secara lisan).
“Kami memohon maaf di atas sebarang ketelanjuran yang telah menyinggung hati mana-mana pihak, dan sentiasa untuk lebih peka serta berhati-hati dalam setiap aspek pengisian kandungan program-program terbitan kami di masa hadapan,” ujar kenyataan berkenaan.
Sebelum ini, pelakon Fauzi Nawawi telah berkongsi mengenai pengalamannya dalam babak rogol menerusi filem Anak Halal dengan menyebut nama Raja Farah.
Berikutan itu, Raja Farah serta suaminya telah bertindak membuat kenyataan dengan menyelar tindakan Fauzi yang dianggap mengaibkan dan tidak menghormati wanita.
Namun begitu, Fauzi menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram telah memohon maaf atas tindakannya yang dibuatnya itu. – KopiPlanet.com
Kredit Artikel & Foto: Portal Astro Gempak