Sambutan Hangat… Nik Ruasma Buka Lima Rangkaian BubbleBee
Melihat kepada sambutan hangat yang diterima produk minuman dan manisan BubbleBee telah membuatkan usahawan Nik Ruasma Nik Ahmad Ruzi membuka lima rangkaian.
Nik Ruasma berkata, melihat kepada potensi yang dimiliki produk berkenaan, dia yakin BubbleBee bakal menjadi sebuah jenama yang diterima rakyat Malaysia.
“Sebelum ini saya sudah memiliki beberapa perniagaan seperti perabot dan spa. Kemudian saya ambil keputusan untuk menjalankan pula perniagaan BubbleBee ini.
“Saya rancang untuk membuka lima rangkaian dan kini sudah buka tiga iaitu di Sentul, Ampang dan Senawang. Untuk dua rangkaian lagi saya akan buka di Putrajaya dan Sungai Buloh,” ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran kedai BubbleBee yang berlangsung di Ampang baru-baru ini.
BubbleBee merupakan jenama minumun dan manisan yang dimiliki oleh pelawak Shuib Sepahtu yang kini sudah memiliki lapan cawangan.
Dalam pada itu, Nik Ruasma atau lebih dikenali sebagai Baby Anna Moi menyatakan dia tertarik untuk membuka rangkaian BubbleBee ini ketika melihat kepada sambutan sewaktu kali pertama dibuka di Shah Alam pada awal tahun ini.
“Pada mulanya saya beritahu Shuib untuk cuba buka satu dahulu. Apabila melihat sambutannya yang diterima sangat menggalakkan, terus saya ambil keputusan untuk buka empat lagi rangkaian.
“Saya tahu untuk membuka lima rangkaian ini memerlukan modal yang besar. Namun, ia juga pasti dapat memberi pulangan yang besar dan itu yang menyebabkan saya berani untuk mencuba,” ujarnya. – KopiPlanet.com