
Santesh Yakin Lagu Mymuna Mampu Meletop Seperti Amalina
Sebelum ini, penyanyi lagu Amalina iaitu Santesh tidak menyangka bahawa lagu nyanyiannya itu telah mendapat reaksi yang positif terutamanya daripada peminat Melayu.
Terbaharu, penyanyi itu telah mendedahkan bahawa lagu yang berjudul Mymuna pula yang bakal dikeluarkan pada bulan hadapan di bawah Datu Entertainment.
“Saya yakin lagu terbaru saya ini nanti akan mendapat sambutan yang sama dengan lagu sebelum ini (Amalina). Untuk lagu Mymuna ini ia akan dilancarkan pada bulan hadapan. Memandangkan Issey baru sahaja melancarkan lagu Alololo terlebih dahulu, jadi lagu Mymuna akan lancar lepas 30 hari.
“Kalau lagu Amalina 100 peratus, lagu ini saya yakin 200 peratus kerana melodi, rentak dan liriknya yang menarik. Jadi ketiga-tiga perkara tersebut untuk lagu ini semua sempurna dan saya sendiri pun layan lagu ini,” katanya pada KopiPlanet.com
Santesh ditemui pada majlis sidang media Datu Entertainment yang berlangsung di Wisma Datu, Persiaran Tengku Ampun, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Sementara itu, Santesh turut memaklumkan bahawa dia turut terlibat sepenuh masa bekerja bersama Datu Entertainment sebagai pengarah muzik dan juga artis rakaman.
“Saya memegang jawatan sebagai pengarah muzik dan artis rakaman di syarikat ini. Saya akan menyusun muzik sahaja berdasarkan melodi yang diberi.
“Kalau pada waktu pejabat saya akan bekerja di sini. Namun begitu, apabila ada persembahan atau sebagainya, pihak syarikat yang akan aturkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Santesh juga tidak menolak jika menerima sebarang tawaran belakon bagi mengembangkan lagi sayapnya dalam industri seni. – KopiPlanet.com
Artikel: Fatin Marzuki
Pelajar Uitm Puncak Perdana