
“Saya Tak Mungkin Akan Kembali Bersama Dia” – Adam Shahz
Pelakon yang popular menerusi siri filem Juvana, Adam Shahz menegaskan dia sesekali tidak akan kembali untuk bersama bekas isterinya iaitu Faten Afeefa.
Menurut Adam, tidak dinafikan masih ada segelintir yang mendoakan dia dan isteri agar kembali bersama demi anak, namun dia menyatakan ia suatu perkara yang mustahil.
“Memang ada yang mendoakan supaya dia kembali bersama saya, tetapi saya nak jumpa orang yang mendoakan itu agar dapat doakan supaya jauhkan perkara tersebut.
“Dalam perkara ini saya memang tegas. Lagipun saya dah lama move on dan rasa kehidupan sekarang lebih teratur, tambahan pula dapat meluangkan lebih banyak masa bersama anak,” ujarnya.
Adam mendirikan rumah tangga dengan Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin pada 21 Disember 2013, namun kedua-duanya mengambil untuk berpisah pada 30 Mei tahun lalu.
Sepanjang perkahwinan, Adam dan Fatin dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ivy Herra Sophia yang kini berusia tiga tahun.
Berkenaan dengan sambutan perayaan Aidilfitri pula, Adam memberitahu dia tidak keseorangan kerana akan menyambutnya bersama anak perempuannya.
“Tiada istilah raya berseorangan kerana saya akan menyambutnya bersama anak di kampung halaman saya di Melaka. Malah, untuk persiapan sebelum ini pun saya yang buat sendiri, termasuk tempah baju untuk anak,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia sudah bertemu pengganti, pelakon itu menyatakan belum terlintas untuk kembali berumah tangga.
Ujarnya, tidak dinafikan ada mengenali beberapa orang wanita dalam hidupnya sekarang, namun hatinya masih belum terbuka.
“Apa yang boleh saya katakan, buat masa sekarang ini saya mahu lebih berhati-hati. Nak dapatkan kepercayaan tu bukannya ambil masa yang sekejap.
“Segala yang telah berlaku sebelum ini saya ambil sebagai pengajaran paling berguna dalam hidup. Kalau nak berkahwin semula pun, saya akan cuba untuk mengenali sedalam-dalamnya wanita yang ingin dikahwini itu,” ujarnya. – KopiPlanet.com