Cerita ArtisHiburan

“Saya Tak Pernah Declare Keluar Sepahtu…” – Shuib Beri Penjelasan Tentang Status Bersama Kumpulan Sepahtu

Pelawak popular, Shuib menyatakan dirinya tidak kisah sama ada peminat mahu memanggil dirinya dengan nama Shuib atau Shuib Sepahtu.

Shuib berkata, selama ini dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyatakan dia sudah keluar daripada kumpulan Sepahtu.

“Kalau ditanya tentang status saya bersama kumpulan Sepahtu, selama ini pun saya tidak ada declare yang saya keluar daripada kumpulan tersebut.

“Terpulang pada sesiapa kalau nak panggil saya Shuib atau Shuib Sepahtu. Pada saya, nama ‘Sepahtu’ itu sendiri yang membawa rezeki kepada saya,” ujarnya.

Shuib berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran program komedi terbaharu Ubi Superstar Live yang berlangsung semalam.

Ketika ditanya sama ada dia merajuk dengan ahli kumpulan Sepahtu yang lain, Shuib menyatakan hubungan dia dengan Jep dan Rahim tetap baik dan mereka masih berkawan.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan sekiranya ada rezeki untuk kembali menyertai program Sepahtu Reunion pada masa akan datang.

“Kalau ada rezeki saya pasti akan ke sana juga. Lima tahun bersama program berkenaan dengan lebih 100 episod, ia memang gelanggang yang sangat best,” jelasnya.

Berkenaan dengan penyertaannya dalam program Ubi Superstar, pelawak itu memberitahu dia mahu mencari angin baharu apabila membuat kemunculan semula dalam pentas lawak.

Jelasnya, dia terbuka hati untuk sama-sama terlibat dalam program berkenaan kerana tertarik dengan konsep yang diketengahkan.

“Apabila saya dihubungi Fad (Bocey) serta seorang penerbit dan mereka menceritakan program ini, tiba-tiba saya rasa tertarik.

“Lagipun setelah berehat agak lama dalam pentas lawak, dah tiba masanya untuk saya kembali dengan angin dan lingkungan yang baharu,” ujarnya.

Selain Shuib, turut serta dalam program Ubi Superstar Live yang dianggotai Fad, Sharif (Zero) dan Namie adalah Ajak Shiro.

Program berkenaan akan disiarkan setiap hari Khamis di saluran Astro Warna pada pukul 9.00 malam sebanyak empat episod. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button