Selepas 11 tahun tidak menghasilakan album, kumpulan rock popular Search kini akhirnya tampil dengan album baharu yang diberi judul Katharsis.
Vokalisnya, Amy yang ditemui ketika majlis pelancaran berkata, album Katharsis berkenaan ibarat Search ‘membalas dendam’ dengan melepaskan segala emosi, perasaan, pengalaman serta apa yang telah dipendam dalam tempoh 11 tahun selepas penghasilan album Gothik Malam Edan yang diterbitkan pada tahun 2006.
“Sound, muzik, chemistry dan hala tuju album ini adalah sama seperti Search dahulu. Ia adalah tipikal muzik Search, tetapi dalam masa yang sama kita adunkan dengan resepi dan cara baharu serta bunyi yang lebih berkualiti. Peminat lama mungkin susah nak terima konsep baharu kami, namun ini adalah perjalanan kami sepanjang berkecimpung dalam bidang seni.
“Teroka benda baru lagi menyeronokkan berbandung duduk satu takuk yang lama. Kami percaya kena tampil sesuatu yang lain kepada peminat untuk setiap album yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman album Katharsis di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur semalam.
Search yang dianggotai Amy selaku vokalis, Nasir (bassist), Din dan Kidd sebagai gitaris sepakat memilih lagu Sidang Kangaroo sebagai single pertama album tersebut.
Katharsis merupakan album studio ke-12 band rock ini dan ia diterbitkan di bawah label Pawana Music yang dinaungi Datuk Ahmad Zaharul Annuar.
Katharsis yang bakal menemui peminat Search bermula pada bulan Disember ini mengandungi 10 buah lagu baharu, yang mana lima daripadanya merupakan ciptaan komposer terkenal, Datuk M. Nasir yang turut bertindak selaku penerbit Katharsis.
Menariknya, pemilihan judul Katharsis juga merupakan idea M. Nasir yang membawa maksud satu proses penyucian dan pembersihan jiwa raga.
Sementara itu, M. Nasir turut mendedahkan beliau telah menghabiskan masa lebih dari 700 jam di studio rakaman bagi memberikan hasil yang terbaik untuk album Search kali ini.
“Sebelum ambil keputusan untuk menerbitkan album ini, saya perlu ambil kira pengalaman kumpulan Search dan pasaran album masa pada masa kini.
“Kalau diikutkan lebih 700 jam saya berada di studio untuk siapkan proses rakaman album ini dan ambil masa yang lama untuk menerbitkannya. Alhamdulillah, saya puas hati kerana Katharsis merupakan antara album terbaik pernah saya hasilkan,” katanya.
Bagi menghangatkan kemunculan album baharu ini, Search akan tampil dengan Konsert Gegaran! anjuran Dcode Dunia Juara yang bakal berlangsung di Tapak Bazarena, Shah Alam pada 2 Disember ini.
Konsert itu juga akan dimeriahkan dengan persembahan daripada Nidji, Bunkface, Hujan dan Oh! Chentaku.
Tiket-tiket berharga RM69 dan RM89 boleh didapati di www.myticket.asia dan semua cawangan Rock Corner di seluruh negara. – KopiPlanet.com