
Selagi Diberi Peluang Dayang Akan Terus Perform Di AJL
Jika kebanyakan rakan artis seangkatannya menarik diri daripada melakukan persembahan di anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), lain pula buat Dayang Nurfaizah yang akan terus membuat persembahan sekiranya lagu nyanyiannya tercalon.
Menurut Dayang, selagi dirinya diberikan peluang, dia akan memberikan yang terbaik bagi mempersembahkan karya ciptaan komposer dan penulis lirik bagi lagu yang didendangkannya.
“Saya tiada rasa nak tarik diri, selagi saya diberi peluang, kenapa perlu tolak kan. Tapi kalau saya rasa dah tak mampu lagi (buat persembahan di AJL), lainlah pula keputusan saya,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada sidang media pengumuman 30 lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32 (SFMM32) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Lagu Dayang, Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya oleh Ajai berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan penyanyi kelahiran Sarawak itu akan membuat persembahan pada minggu kedua SFMM32 yang berlangsung pada 5 November ini.
Ketika ditanya mengenai persediaannya bagi menghadapi saingan SFMM32, Dayang berkata, dia akan memberikan fokus terhadap persembahan vokalnya yang telah terbukti merdu dan gemersik.
Setakat ini, rekod Vokal Terbaik AJL berjaya digenggam Dayang selama empat tahun berturut-turut dan dia mengakui sedikit tertekan, namun enggan terlalu memikirkan perkara itu dan sebaliknya hanya ingin memberi yang terbaik buat peminat setianya.
“Saya tak nak terlalu tertekan, saya cuma nak fokus pada persembahan dan akan buat yang terbaik pada hari itu.
“Disebabkan kebanyakan lagu-lagu saya bergenre balada, saya suka buat persembahan stand alone. Kadang-kadang ada lagu sesuai (guna khidmat penari), ada lagu tak sesuai, kadang-kadang ia mengganggu” katanya.
Dalam minggu kedua SFMM32, Dayang bakal bersaing dengan Dramaband, Haiza, Tomok, Black, Aizat Amdan, Sufian Suhaimi, Floor 88, Ara Johari, Aiman Tino dan Siti Nordiana.
Lagu-lagu tersebut akan diadili oleh juri profesional bagi melayakkan 12 daripada 30 lagu yang bertanding untuk mara ke peringkat akhir AJL 32 yang bakal berlangsung pada Februari tahun hadapan. – KopiPlanet.com