
Selebriti Kongsi Kesedihan Tragedi 6 Bomba Lemas Misi Menyelamat
Selebriti tempatan tidak ketinggalan berasa simpati dengan tragedi lemas melibatkan enam anggota bomba, malam semalam.
Antara yang berkongsi kesedihan itu ialah pelakon Nora Danish dan Sharnaaz Ahmad.
Menerusi perkongsian itu, Sharnaaz berkata dia pernah mengenali beberapa mangsa yang terlibat dan aktor itu turut mendoakan agar roh mereka semua dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman.
“Saya pernah bekerja, bergurau, bergelak dengan mereka dan mereka adalah yang terbaik dalam unit di air Malaysia, mereka adalah unit elit khas dan kehilangan yang sangat terasa buat unit di air bomba Malaysia.
“Mereka sangat terlatih dan mahir dalam misi menyelamat, banyak kes mereka bersabung nyawa dan berjaya selamatkan tetapi kali ini mereka dijemput oleh Allah atas tugas mereka.
“Saya sangat terkesan dengan kehilangan unit di air bomba Malaysia. Mereka telah gugur dan syahid ketika melakukan kebaikan.
“Semoga Allah luaskan kubur mereka dan jadikan kematian ini syahid yang paling indah buat keenam-enam hero sebenar Malaysia,” tulis Sharnaaz.
Enam anggota bomba Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam semalam.
Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Jenazah kesemua mangsa akan disemadikan di kampung halaman masing-masing selepas disembahyangkan dan diberikan penghormatan terakhir di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam. – KopiPlanet.com