Selepas 26 Tahun, Madhuri Dan Anil Kapoor Kembali Disatukan
Selepas hampir 26 tahun tidak bekerjasama, akhirnya peminat boleh melihat semula gandingan pelakon Madhuri Dixit dan Anil Kapoor menerusi filem terbaharu, Total Dhamaal.
Gambar terbaharu gandingan mereka itu dikongsikan media tempatan memaparkan kecantikan wajah asli aktres berusia 50 tahun itu di samping heronya yang kini menjangkau usia 61 tahun.
Anil menerusi laman Instagramnya juga turut memuji heroinnya itu yang masih kekal bertenaga dan cantik sama seperti dua dekad dahulu.
Madhuri dan Anil sebelum ini pernah bergandingan bersama menerusi filem Tezaab, Beta dan Ram Lakhan.
Mereka juga pernah digelar pasangan paling secocok dalam industri oleh peminat setia masing-masing.
Total Dhamaal turut dibintangi Ajay Devgan, Boman Irani dan Arshad Warsi. Ia bakal ditayangkan pada hujung tahun ini. – KopiPlanet.com