
Selepas Enam Tahun, Puteri Sarah Kini Kembali Ke Dunia Lakonan
Setelah mendirikan rumah tangga bersama pengarah terkenal, Syamsul Yusof pada tahun 2014, pelakon Puteri Sarah Liyana dilihat lebih memberi fokus kepada rumah tangganya.
Bagaimanapun, kini setelah enam tahun menyepi Puteri Sarah menyatakan dia kini sudah kembali terjun ke bidang lakonan semula.
“Sejak bulan Oktober lalu saya dah mula tampil di layar kaca dengan menjadi pengacara. Kemudian saya berlakon untuk sebuah telemovie dan bergandingan dengan Raja Afiq.
“Sebenarnya saya kembali berlakon memandangkan itu adalah jiwa saya. Lagipun saya ni jenis yang workholic dan rasanya sudah tiba masa untuk berlakon semula,” ujarnya.
Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk Shara Skincare Il Dolce Face Serum yang berlangsung semalam.
Menurut pelakon yang sudah mempunyai dua orang cahaya mata itu lagi, suaminya juga telah memberikan keizinan untuk berlakon dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan.
“Bila saya tanya Syamsul, dia kata boleh tetapi hanya telemovie sahaja sebab tempoh penggambarannya pendek. Kalau episod memang terpaksa tolak kerana akan ambil masa yang lama. Selain itu, saya juga perlu menjaga batasan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang babak bersentuhan.
“Sebenarnya saya pernah mendapat tawaran drama untuk 26 episod, namun ia ambil masa sehingga dua bulan. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menceritakan tentang produk terbarunya itu, Puteri Sarah menyatakan Il Dolce Face Serum merupakan sebuah lagi produk kosmetik di bawah jenama Shara Skincare.
Sebelum ini, Shara Skincare telah mengeluarkan beberapa produk rangkaian kosmetik seperti Lipmatte, All-in-One Blusher Stick, Magic Gloss, Mascara dan Make Up Remover. – KopiPlanet.com