Selesa Kerja Bersama, Indah Ruhaila Lantik Suami Jadi Pengurus
Penyanyi Indah Ruhaila kini menggunakan khidmat suaminya, Ahmad Shariff Ahmad Taufik bagi menguruskan kerjaya seninya.
Menurut Indah, dia selesa bekerja dengan suaminya memandangkan mereka memahami di antara satu sama lain.
“Suami saya seorang yang tenang dan saya pun senang bekerja dengannya. Sejak berkahwin, dia kini telah mengambil alih tanggungjawab dengan menjadi pengurus saya juga.
“Selain bertangungjawab menyusun atur jadual saya, suami juga seorang yang sangat jujur dalam memberi komen, sebagai contoh jika ada pakaian yang dipakai saya untuk mana-mana majlis hiburan tidak bersesuaian, dia akan tegur dan saya dengan senang hati akan tukar yang lain,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis pelancaran single terbaharu rakan baiknya, Amira Othman di Flora Terrace, Kuala Lumpur semalam.
Selepas hampir sebulan mendirikan rumah tangga, Indah, 31, turut berkongsi pengalamannya bergelar seorang isteri.
Masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri dengan status baharunya, Indah berkata, “Masih baharu lagi bergelar isteri, saya masih lagi cuba biasakan diri dengan tanggungjawab seorang isteri seperti jaga makan dan minum suami. Alhamdulillah semua okey.”
Sementara itu, ketika disoal tentang cahaya mata, Indah mengatakan mereka tidak merancang dan juga tidak menolak rezeki sekiranya dikurniakan anak dalam jangka masa terdekat.
“Kami tak merancang, lagipun masih baharu bergelar suami isteri, tiada sebarang tekanan, kami ‘just go with the flow’ sahaja,” katanya.
Indah diijabkabulkan dengan Shariff di Bizmillah Wedding Center, Subang Jaya pada 24 Disember lalu.
Pasangan ini baharu sahaja pulang ke tanah air selepas berbulan madu di lapan buah negara di Eropah sejak sebulan lalu. – KopiPlanet.com