Cerita ArtisHiburan

Pak Nil Mahu Ajar Komunikasi Yang Betul

Risau dengan cara komunikasi generasi baharu yang dilihat semakin ‘kurang ajar’, pengacara No. 1 negara, Datuk Aznil Nawawi berkata, beliau kini sedang dalam perancangan untuk menjelajah sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara bagi tujuan itu.

Menurut Aznil, generasi masa kini dilihat tidak tahu cara berkomunikasi yang betul, malah sering tidak berani mengutarakan pendapat apabila diminta berbuat demikian.

Susulan itu, beliau kini dalam perancangan dengan beberapa agensi kerajaan bagi melaksanakan misi untuk memberikan penerangan berkaitan perkara tersebut dalam masa terdekat ini.

“Jika kita lihat senario sekarang, ramai anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki pemimpin, tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ustaz, ahli agama dan ibu bapa. Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri! Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku? Takkan hendak tunggu sampai mereka berani hina nabi?

“Sebab itu saya ingin adakan kempen ini dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka, namun dengan adab dan cara yang betul tanpa dilihat kurang ajar,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pemenang mencipta kawan Cheek-e Astro Ceria yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Kuala Lumpur, semalam.

Aznil dan Pengurus Saluran Astro Ceria, Marissa Hanafi bersama pemenang Pertandingan Cipta Kawan Cheek-e, Wan Mohamad Khairul Asyraf Wan Ahmad, Lim Jing Xiang, Nurul Hannah Najihah Mohamad Kamal dan Song Joe Han.

Menurut Pak Nil lagi, jika generasi muda tidak diberi pendedahan, beliau risau mereka akan terus leka dan hanyut dengan penggunaan kata-kata slanga yang sama sekali bukan merupakan komunikasi yang betul.

“Kita hendak membentuk generasi baharu untuk menggunakan bahasa dengan betul, elakkan penggunaan kata-kata slanga yang sering mereka gunakan selain mahu memberikan keyakinan diri dalam diri mereka untuk memberikan pendapat tanpa dilihat bersikap kurang ajar.

“Sebab jika kita perhatikan, pelajar-pelajar ini sering berasa malu jika diminta memberikan pendapat, tak boleh beri pendapat bila ditanya. Itu yang saya cuba untuk terapkan, untuk mereka berani berikan pendapat, namun dalam cara komunikasi yang betul dan beradab,” ujarnya lagi.

Dalam perancangannya itu, Aznil turut mengalu-alukan pembabitan mana-mana pengacara televisyen atau radio untuk menyertai kempen yang bakal dijalankan itu bagi memberi tunjuk ajar kepada generasi muda yang bakal memimpin negara pada suatu hari kelak. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button