Cerita ArtisHiburan

Setelah 16 Tahun Tidak Bersama, Faizal Tahir Kembali Berkolaborasi Dengan Mirwana

Umum mengetahui bahawa penglibatan awal Faizal Tahir dalam industri seni adalah bersama kumpulan nasyid Mirwarna, sebelum mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.

Kini, setelah 16 tahun, rata-rata peminat berasa amat teruja dan meninggalkan komen yang baik setelah melihat posting Faizal dan Mirwana di laman media sosial mengenai ‘reunion’ mereka.

Bersama dengan Hafiz, Izzat, Akmal dan Along, Faizal Tahir merupakan salah seorang anggota Mirwana dan telah keluar dari kumpulan tersebut pada tahun 2005.

“Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka.

“Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami berkerjasama semula,” kata Faizal Tahir setelah mengejutkan ramai orang apabila beliau kembali berkolaborasi bersama Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021. 

Faizal berkata, sebenarnya mereka sudah berbincang dari beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai.

“Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini,” jelasnya.

Tidak dapat disangkal bahawa lagu Aku Tanpa CintaMu telah membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.

Alunan melodi yang merdu serta bait-bait lirik yang menyentuh jiwa telah berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu. 

Sementara itu, wakil dari kumpulan Mirwana, Hafiz pula berkata, apa yang lebih penting adalah ukhuwah di antara mereka, keluarga dan sahabat diharap akan lebih erat dan baik.

“Sejak kebelakangan ini, kami dapat melihat pelbagai usaha yang dilakukan oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan.

“Maka 2021 adalah tahun yang tepat untuk kami susuli dengan sebuah lagu nostalgia yang diberi nafas baru,” ujarnya.

Apabila ditanya mengenai pengunduran Faizal Tahir pada 16 tahun yang lalu, Hafiz memberitahu bahawa itu adalah satu keputusan yang tepat.

Jelasnya, ketika itu Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza.

“Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik beliau lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama,” ujarnya.

Lebih menarik lagi, kesemua ahli baharu kumpulan Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram turut sama menjayakan muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 yang mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak.

“Isu penderaan ini adalah satu gejala dan tragedi yang mesti diberi perhatian oleh semua. Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah agar menyentuh hati dan jiwa masyarakat.” tambahnya.

Aku Tanpa CintaMu 2021 juga telah dimuatkan dalam koleksi audio ‘Qibla’ yang baru dilancarkan oleh Faizal dan syarikat rakamannya, Faithful Music.

Aku Tanpa CintaMu adalah karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala sususan muzik versi 2021 ini pula telah digubah oleh Adib Hussin dan Faizal Tahir sendiri. Lagu ini adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Dengarkan Aku Tanpa CintaMu 2021 di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan  Joox bermula 9 April 2021 manakala video muzik rasmi pula pada 12 April 2021 di saluran YouTube Faizal Tahir. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button