Cerita ArtisHiburan

Setelah 21 Tahun, Hazrul Nizam Akhirnya Tampil Dengan Single Solo Baharu Berjudul Rawan

Penyanyi Hazrul Nizam mengambil keputusan tampil dengan single baharu selepas kali terakhir membawakan lagu Kaulah Segalanya kira-kira 21 tahun lalu.

Single berjudul Rawan yang ditulis dan digubah oleh Amylea Azizan itu menjadi pengubat rindu buat seluruh peminat Hazrul selepas sekian lama menantikan kemunculannya dengan buah tangan baharu.

Hazrul yang juga penyanyi asal Singapura berkata, selepas dilancarkan di semua platform penstriman muzik termasuk YouTube pada 13 Oktober 2024, Rawan menerima maklum balas positif pendengar.

“Lagu Rawan sudah ada di semua platform penstriman seperti Spotify, Apple music dan YouTube. Alhamdulillah penerimaan sangat memberangsangkan.  

“Ramai penyokong saya sangat suka lagu Rawan dan mungkin terubat rindu untuk saya keluarkan lagu solo selepas 21 tahun tiada lagu semenjakKaulah Segalanya.

“Alhamdulillah lagu ini dipilih untuk menjadi runut bunyi (OST) drama Satu Hari Nanti dibintangi Bella Astillah, Ezaidi Aziz dan ramai lagi terbitan Mache All Star United,” kata bekas peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9).

Mengulas mengenai muzik video Rawan, Hazrul bersyukur kerana ia dibantu oleh barisan pelakon hebat untuk menambah seri single nyanyiannya itu.

“Saya akan buat yang terbaik untuk mempromosikan lagu Rawan ni. Muzik video sudah dilancarkan pada 13 Oktober lalu. Saya amat bersyukur kerana pelakon-pelakon legenda dan handalan sudi bekerjasama.

“Antara yang terlibat Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Dato’ Rahim Razali. Muzik video (MV) Rawan diarahkan oleh pengarah terkenal, Bobby Husainidan diterbitkan oleh HMA Entertainment.

“Untuk muzik video ini saya memang nak bercerita, bukan sekadar muka saya menyanyi dalam MV itu. Saya nak menceritakan sebuah situasi yang menggambarkan kehilangan diri kerana kalau cerita pasal cinta macam dah banyak lagu sebegitu.

“Saya nak buat kelainan sikit dan alhamdulillah apabila saya berkongsi idea dengan pasukan saya, Bobby, dia pun menambah idea mengikut kemahuan saya dan terciptalah muzik video ini,” katanya.

Berkongsi maksud di sebalik lagu Rawan, Hazrul berkata, ia menceritakan mengenai kehilangan yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai maksud mengikut pendengar.

“Rumusan lagu Rawan ni menceritakan perasan pilu bercampur sedih. Seperti kehilangan. Tak kisah kehilangan orang tercinta, atau kucing kesayangan ataupun kehilangan diri sendiri. 

“Amylea adalah pengubah lagu Rawan dan penulis lirik. Memang terharu bila dia sudi nak tuliskan lagu untuk saya.

“Saya sangat tertarik dengan melodi dan lirik lagu Rawan. Saya memang suka lagu berentak balada atau galau begini dan menarik sekali, lagu ini boleh diinterpretasikan dalam pelbagai cara. 

“Bukan untuk yang patah hati kerana cinta sahaja, untuk yang kehilangan keluarga atau kawan termasuk kehilangan diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hazrul berkongsi, dia masih menerima undangan untuk menjayakan persembahan, namun terpaksa menolak beberapa tawaran di Malaysia berikutan tiada permit daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filemdan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Tambah Hazrul, dengan single Rawan, ia boleh dianggap jalan untuk membuat kebangkitan semula dalam industri muzik.

“Selepas GV9, saya balik ke Singapura untuk uruskan kerja hartanah saya. Banyak juga undangan di Singapura, Alhamdulillah dan di Malaysia juga. Tapi kerana saya tiada permit PUSPAL, banyak yang terpaksa saya tolak.

“Lagu solo ni mengambil masa agak lama kerana selepas GV9 saya ada lancarkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata. Selepas itu, bergabung pula dengan kawan baik saya di GV9 iaitu Dina Nadzir dengan lagu Berat Hati. 

“Jadi saya tunda lancarkan lagu Rawan ini. Kalau nak ikutkan, sudah 21 tahun sejak lagu solo, Kaulah Segalanya. Saya sangat teruja untuk lagu ini. Jadi selepas GV9 itu saya tidaklah berdiam diri sahaja. Masih berkarya dan akan terus berkarya,” katanya.

Lagu Rawan boleh distrim di pelbagai platform seperti Spotify dan Apple music manakala muzik video boleh ditonton di YouTube menerusi saluran Alternate Records & Talents.

Peminat juga boleh mengikuti perkembangan semasa Hazrul dalam industri seni melalui saluranYouTube rasminya, Hazrul Nizam, Instagram, @azruul dan TikTok, Hazrul Nizam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button