
Setelah Dua Kali Tertunda, Akhirnya Anak Sulung Mas Anizan Kini Bergelar Isteri Kepada Juruterbang
Selepas dua kali terpaksa ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya Mas Aliza Ali yang juga anak sulung kepada pelakon popular era 90-an, Mas Anizan selamat mendirikan rumah tangga.
Acara pernikahan tersebut berlangsung pukul 12 tengah hari, Jumaat lalu di Pejabat Agama Shah Alam dań perancangan acara dibuat sekitar seminggu lalu.
“Selepas majlis akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di negeri Selangor sejak 1 Julai lalu, saya mula memikirkan cara untuk mempercepatkan majlis ini.
“Namun begitu, saya akur kehadiran di pusat agama itu hanya membabitkan tiga orang saja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta anak kedua saya, Mohd Masli Daniel Ali sebagai wali. Saya hanya menunggu di dalam kereta saja kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan.
“Ikutkan majlis tunang dan nikah buat kali pertama dirancang pada 21 Mac lalu. Kemudian kedua majlis itu dianjak pula ke tarikh 12 Jun lalu. Tapi akhirnya hanya majlis nikah saja diadakan hari ini. Kita utamakan akad nikah dulu, majlis resepsi menyusul kemudian apabila segala galanya reda selain dibenarkan penganjuran acara kahwin,” katanya.

Kata pelakon drama Sara Sajeeda itu, hanya cincin dan gelang tangan menjadi tanda termeterai majlis pernikahan.
Ujarnya, selepas selesai acara pernikahan, pasangan pengantin balik ke rumah mereka untuk mengabadikan gambar kenang-kenangan.
“Tak apalah janji mereka sudah sah ikatan. Dengan keadaan semasa segala serbi ada kekangan memang tak dapat buat apa apa,” katanya.
Ditanya mengenai perasaannya melepaskan anak sulungnya yang mesra disapa Baby membina keluarga sendiri, pelakon kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengakui perasaannya bercampur baur.
“Sedih ada, bahagia dan gembira pun bertandang. Sedih kerana saya sudah sah menyerahkan tanggungjawab sebagai ibu kepada menantu. Lepas ini saya yakin Faruq pula dapat menjaga Baby dengan baik.
“Paling menyeronokkan kerana bertambah ahli keluarga baru. Insya-Allah selepas setahun tiga bulan mereka kenal, saya yakin Faruq akan membahagiakan Baby,” katanya.
Selain Mas Aliza dan Mohd Masli Daniel Ali, pelakon itu turut dikurniakan anak bernama Ariana Marissa. – KopiPlanet.com