Cerita ArtisHiburan

Setelah Seminggu Berumah Tangga, Syamel & Ernie Zakri Tampil Dengan Goodbye Hello

Pasangan selebriti popular negara yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 26 Mac lalu, Syamel dan Ernie Zakri kini muncul dengan single terbaharu yang romantis berjudul Goodbye Hello terbitan Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Faithful Music.

Syamel berkata, lagu hasil ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan itu adalah hadiah istimewa mereka buat peminat yang sering menyokong kerjaya mereka.

“Goodbye Hello adalah hadiah terbaru daripada kami berdua buat peminat setelah mendirikan rumah tangga, ia mengenai pasangan kekasih yang tidak akan berpisah selama-lamanya.

“Perkataan Goodbye yang sering kita ucapkan ketika hendak berlalu, kemudiannya dibalas dengan Hello, menggambarkan kemanisan sebuah perhubungan yang tidak akan terlerai kerana ikatan janji yang telah termeterai,” ujarnya.

Menurut Syamel, proses pembikinan single Goodbye Hello memakan masa selama dua hari untuk disiapkan ketika negara masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pada hari pertama, kami berempat berbincang dalam sesi brainstorming mengenai pembahagian rangkap.

“Kemudian hari kedua pula proses rakaman dilakukan, di mana ia memakan masa selama beberapa jam saja dan banyak yang kami pelajari daripada kedua-dua komposer ternama sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-35 (AJL 35), Ernie memberitahu idea merakamkan single Goodbye Hello datangnya daripada Faizal Tahir dan Mike Chan sendiri.

Ujarnya, kedua-dua nama besar berkenaan menyatakan hasrat mereka untuk berkolaborasi dengan dia dan Syamel dan menurut kedua-duanya ia hanya boleh direalisasikan oleh mereka.

“Setelah mendengar demo yang diberikan, kami terus terpaut dengan melodi pop moden yang santai dan romantis yang dicipta, selain itu kami juga diberi ruang untuk menulis lirik bersama bagi melengkapkan lagu tersebut.

“Ia amat berlainan dengan lagu-lagu duet kami terdahulu seperti Aku Cinta dan Takkan Terlerai dari segi genre, lirik dan mood yang memerlukan penghayatan lebih berat, manakala dengan Goodbye Hello pula ia membangkitkan perasaan indah dan ceria buat pasangan kekasih atau suami isteri,” jelasnya.

Ujar Ernie, apa yang menariknya proses penghasilan single tersebut berlangsung tiga hari sebelum mereka bernikah, namun semuanya berjalan dengan lancar.

Lagu Goodbye Hello boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Ia juga boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala lirik video single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button