Sewa Pakaian Untuk Hadiri Acara FFM33, Diana Danielle Perlu Pilih Sepasang Paling Sesuai Antara 5,000 Dress
Pelakon Diana Danielle mendedahkan gaun hitam diperagakan ketika menghadiri malam FFM33 adalah busana yang disewa kerana tidak ada pereka fesyen menerima tempahan pada saat akhir.
Diana berkata, dia tidak kisah sekiranya perlu membuat sewaan pakaian biarpun dirinya adalah seorang selebriti kerana apa sahaja yang sesuai dipakai pasti akan kelihatan menawan.
“Apa yang jadi ketika itu adalah, saya memang seorang yang suka siapkan sesuatu pada saat akhir sehingga saya terlupa tarikh FFM sudah hampir tiba. Jadi, saya pun tanya beberapa pereka fesyen dan semuanya cakap tak sempat, tengah sibuk dan sebagainya.
“Saya tidak mahu menyusahkan orang, jadi terpaksa susahkan diri sendiri. Akhirnya saya pergi ke kedai sewa pakaian yang dalamnya ada 5,000 ‘dress’. Disebabkan ia program RTM, jadi saya perlu cari pakaian yang sesuai, jadi saya belek satu persatu.
“Walaupun tak pernah pergi kedai itu, tapi saya tetap kena usaha juga untuk ke sana. Alhamdulillah saya gembira kerana pada akhirnya semua baik-baik sahaja. Pada saya, tidak kisah mahal atau tidak, tapi kalau itu adalah gaya anda, ia tetap akan nampak sesuai,” kongsi Diana.
Topik itu timbul selepas Nani memuji gaun yang dikenakan Diana pada malam itu menerusi Podcast Kata Kita
Jelas Diana, dia bukanlah seseorang yang terlalu mendalami fesyen dan lebih mengutamakan gaya. Malah, katanya, dia tidak kisah untuk pakai baju sama berulang kali.
“Almari pakaian saya tidak besar dan hanya pakaian sama sahaja diulang-ulang. Semua kawan saya tahu mengenainya. Jika saya tidak begitu peduli mengenainya, mengapa saya perlu menyesuaikan diri dengan perkara itu.
“Saya adalah seorang pelakon, bukannya seorang peraga fesyen. Tapi, kadang-kadang ada sahaja dapatkan khidmat penata gaya dan okay dengan fesyen.
“Bagi saya, jangan letakkan harga diri pada apa yang dipakai. Perkara ini sangat penting sebab nanti kita akan rasa harga diri itu bergantung pada apa kita pakai dan bagaimana orang melihat kita. Saya adalah seorang yang tidak kisah untuk pakai baju sama berulang kali.
“Saya sangat kedekut dengan diri untuk mendapatkan khidmat pereka fesyen. Kalau bab makanan atau perkara lain saya tidak kedekut. Saya tak cakap mereka yang begitu salah, tapi jangan letak nilai sesuatu barang itu sama dengan harga diri kita,” katanya. – KopiPlanet.com