Shah Hazvee Didakwa Pikat Isteri Orang, Ajak Lakukan Hubungan Seks
Seorang pelakon didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana memikat seorang wanita yang sudah berkahwin untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Menurut laporan dari Bernama, Muhammad Shah Radhi Hazvee, 24, juga dikenali sebagai ‘Shah Hazvee’, Bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.
Pelakon berkenaan yang dikenali menerusi drama Monalisa dan Hero dituduh mengajak wanita berusia 36 tahun itu untuk melakukan persetubuhan haram dengannya walaupun mengetahui bahawa dia adalah isteri sah seorang lelaki berusia 38 tahun.
Kesalahan yang dilakukannya itu didakwa berlaku di Taman Sering, Ukay Perdana di sini pada pukul 8.00 malam 25 Mei lalu.
Tuduhan itu, yang dirangka di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Farah Nasihah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes. – KopiPlanet.com
Kredit artikel: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)
Kredit foto: Azrul Rafie