
Shiha Zikir Tak Kisah Dapat Komen Negatif, Hanya Mahu Tampilkan Kelainan Dalam Muzik Video Lagu Tum Tum Raya
Penyanyi popular, Shiha Zikir menyatakan dia tidak kisah dengan segelintir yang memberikan komen negatif berkenaan muzik video lagu raya terbaharu duet bersama kakaknya, Ieda Zikir iaitu Tum Tum Raya.
Shiha berkata, dia hanya sekadar menampilkan kelainan yang ada berbanding lagu-lagu raya lain dan menerima segala pandangan mereka yang menonton dengan hati terbuka.
“Untuk Tum Tum Raya ini hasil perbincangan bersama team, kami nak serapkan elemen komedi dengan menghasilkan teknik suntingan ‘fast cut’ dan ‘slow motion’.
“Kalau ada yang kata kurang nilai sopan santun dan berikan komen negatif, saya terima. Apa pandangan yang diberikan boleh buat saya tambah baik pada masa akan datang,” jelasnya.
Shiha berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran lagu Tum Tum Raya yang berlangsung baru-bari ini.
Pada masa sama, penyanyi itu memohon maaf sekiranya ada yang menganggap elemen tarian dan komedi dalam muzik video lagu berkenaan agak keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Dalam pada itu, Shiha turut mendedahkan bahawa dia telah sanggup menghabiskan sehingga RM150,000 unit mengahsilkan muzik video Tum Tum Raya.
Ujarnya, kos tersebut juga meliputi kempen serta bantuan yang akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dengan anggaran sebanyak RM30,000.
“Ini adalah antara muzik video yang paling tinggi pernah saya buat. Paling mahal adalah untuk sewa dan juga cat studio itu. Namun saya sangat puas hati dengan kos yang sudah dikeluarkan itu,” tambahnya.
Untuk info, muzik video lagu ciptaan bersama Ajay Amai, Napir Hassan dan Shiha itu mendapat tajaan daripada pusat membeli belah Giant. – KopiPlanet.com