Rancangan TVTV

Showcase Lejen Ria Imbau Nostalgia Lima Penghibur Ikonik Tanah Air

Showcase Lejen Ria adalah sebuah program hiburan terbaharu berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama barisan penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air yang akan menghiburkan penonton dengan rangkaian koleksi lagu popular masing-masing sekaligus bakal mengimbau nostalgia untuk setiap lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd. Kamal berkata, program berkenaan menampilkan lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik yang berbeza iaitu Kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu  menerusi empat buah konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil. 

“Selaku peneraju utama industri kandungan, kami mengambil cabaran ini untuk terus bergerak secara agresif dalam menghasilkan karya-karya kreatif  bagi memastikan para pelanggan Astro kekal terhibur. Jadi, kami bawakan konsert mini eksklusif Showcase Lejen Ria yang menampilkan legenda tersohor tanah air untuk menggegarkan malam minggu anda. 

“Konsep sebegini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu di platform Astro Ria kerana sebelum ini kami sudahpun mempunyai pengalaman yang luas dalam menerbitkan program dengan format yang seakan sama seperti ‘Dari Studio 1’, ‘Stage 104’ dan sebagainya,” ujarnya.

Ujar Emarina, konsert mingguan eksklusif Showcase Lejen Ria dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti versatil, Datuk AC Mizal selaku hos program yang akan mendalami perjalanan kembara seni serta pencapaian cemerlang barisan artis jemputan sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik.

Jelasnya, selain itu pelbagai perkongsian pahit manis dan pengalaman berharga yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini akan turut dicungkil menerusi program ini.

Rakaman program Showcase Lejen Ria akan bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 21 Mac 2021 menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kumpulan Wings telah membuka gelanggang episod pertama program ‘Showcase Lejen Ria’ Pada Ahad lalu dan kemudian disusuli dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua pada 28 Mac ini. 

Ratu Rock Negara, Ella pula akan beraksi di episod ketiga pada 4 April, Manakala penyanyi terkenal Anuar Zain pula akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat pada 11 April ini. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button