Cerita ArtisHiburan

Shuib Reda Pemergian Siti Sarah, Jenazah Akan Dikebumikan Bersebelahan Pusara Arwah Ibunya

Usahawan dan pelawak Shuib menyatakan dia reda dengan pemergian isteri tercinta, Siti Sarah yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.

Shuib berkata, malam tadi dia bersama tiga anaknya, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin sempat membuat panggilan video buat kali terakhir bersama arwah isterinya yang sedang nazak di hospital.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video untuk anak melihat keadaan ibu mereka. Ketika itu nampak juga air mata berlinangan di pipinya seolah-olah memahami apa yang saya dan anak bersembang mengenainya.

“Selepas itu anak kami sudah tidur, manakala saya sempat ke hospital sejurus selepas selesai sesi bacaan Yassin dan doa dianjurkan menerusi aplikasi Zoom Meeting. Bagaimanapun, saya tak dibenarkan bertemu dengannya dan saya berpatah balik ke rumah,” katanya.

Jelas Shuib, jenazah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira pukul 1.00 petang ini.

“Memang permintaannya untuk dikebumikan sebelah arwah ibunya. Malah selama ini kalau bersembang hal kematian, memang dia ada menyebut keinginan untuk disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.

Kelihatan tenang ketika ditemui, Shuib juga berjanji akan menjaga empat cahaya mata perkongsian hidupnya dengan arwah dengan baik.

“Arwah sempat hadiahkan saya dan anak menerusi kehadiran Ayash Affan yang dilahirkan 6 Ogos lalu. Arwah bergelut untuk menyelamatkan anak kami. Ternyata, Allah lebih menyayanginya. Nama Ayash Affan itu sendiri dipilihnya kerana menurut pembacaan arwah, nama berkenaan mengenai seorang pejuang di Gaza.

“Kini saya reda dengan pemergian isteri saya. Cabaran saya untuk memaklumkan tiga anak kami mengenai ketiadaan ibunya selepas ini,” ujarnya.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital berkenaan akibat pandemik Covid-19 pada pukul 5.13 pagi tadi.

Sebelum itu, ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, arwah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19. Selain arwah dan suami, serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
2

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button