Shuib Sepahtu Terkejut Ibu Pejabat Bubble Bee Diserbu
Diserbu hampir 300 orang dalam satu masa yang sama bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Bagi Shuib Sepahtu, selain rasa terkejut dia gembira bercampur sayu melihat kesungguhan mereka yang hadir mencari peluang pekerjaan bersama jenama BubbleBee miliknya.
Menariknya, temuduga pelbagai jawatan yang menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada mereka yang berada di Kuala Lumpur sebaliknya ada yang datang dari negeri lain.
“Saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diterima sangat luar biasa. Ibu pejabat yang terletak di Puchong, Selangor dipenuhi mereka yang berbaris panjang.
“Kalau 300 orang datang dan masing-masing duduk dengan jarak 1 meter, 3 kilometer juga tu,” katanya yang mengadakan temuduga terbuka selama dua hari bermula 10 Jun lalu.
Pun begitu, Shuib terkesan apabila ramai yang hadir sebenarnya baru sahaja hilang pekerjaan akibat pandemik Covid19 yang menyebabkan banyak syarikat ditutup dan mengakibatkan hilang mata pencarian.
Dia sendiri faham dan dapat merasai sendiri kepayahan mencari kerja memandangkan dia pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu.
“Saya dah melaluinya dahulu. Datang temuduga kerja jauh-jauh tapi akhirnya tak dapat. Bila melihatkan kesungguhan mereka, hati jadi sayu.
“Kalau boleh saya mahu mereka semua dapat pekerjaan tapi apakan daya, peluang juga terhad. Saya doakan urusan mereka dipermudahkan dan diluaskan rezeki.
Namun dalam masa yang sama di gembira apabila dapat menawarkan peluang kerja untuk mereka memandangkan jenama minuman BubbleBee bakal membuka enam cawangan baharu sedikit masa lagi.
“Sebab itu saya menyeru kepada rakan-rakan artis atau orang perseorangan yang lain yang mempunyai modal tapi tak tahu nak berniaga apa, datanglah kepada kami.
“Setidakya mereka boleh berniaga di samping membuka peluang pekerjaan baharu buat orang lain. Ini sebenarnya kepuasan sebenar bila berniaga dan bukannya sekadar mengaut keuntungan semata-mata,” tambahnya. – KopiPlanet.com