Cerita ArtisHiburan

Single Bila Hatiku Rindu Bawa Pengertian Besar Buat Ahmad Syafiq

Single terbaharu berjudul ‘Bila Hatiku Rindu’ berkonsep pop rock balada membawa pengertian besar buat penyanyi dan pelakon, Ahmad Syafiq. Artis bernama sebenar, Ahmad Syafiq Mohamed, 25, ini mengakui, ia satu-satunya pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang merakam lagu di studio. 

“Semasa rakaman itu, saya terlalu letih kerana jadual saya terlalu penuh dengan kerja lakonan. Tambahan pula, saya baharu menamatkan hubungan istimewa dengan seorang wanita yang pernah saya sayangi. 

“Saya terlalu berhabis menggunakan ‘rasa’ semasa rakaman lagu ini sehinggakan saya merasa loya dan kejang perut disyaki berpunca dari kurang rehat,” katanya mengimbas apa yang berlaku. 

Ahmad Syafiq berkata, dia bersyukur proses yang dilaluinya tidak sia-sia kerana dia sangat menyukai hasil akhirnya. Malah, dia tidak sabar untuk berkongsi lagu ciptaan Barr Hadif, Aiman Zaidi & Eddie Hamid serta lirik dari Aiman Zaidi ini kepada peminat pada 14 Februari ini. 

Ahmad Syafiq pernah tampil dengan beberapa single sebelum ini berjudul ‘Mahligai Dusta’ ciptaannya sendiri, ‘Duri’, ‘Ikhlas’ dan ‘Ku Kirimkan’ nyanyian bersama Aqeesh Aleeya. 

“Lagu yang saya pernah cover secara rasmi pula ialah ‘Buat Insan Tersayang’ nyanyian asal Eddie Hamid dan Ashira. Video lirik lagu tersebut yang dinyanyikan semula oleh saya dan Wawa Shazwa mencapai lebih daripada 1 juta tontonan di YouTube,” katanya. 

Perjalanan Ahmad Syafiq dalam industri seni bermula pada 2019 apabila dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu dan menonjolkan diri dalam bidang nyanyian. 

“Saya mencuba nasib menyertai program realiti televisyen Lagu Cinta Kita terbitan TV3 pada 2021 dan alhamdulillah berjaya menduduki tempat kedua. Kemudian, syarikat rakaman yang menguruskan karier nyanyian saya terus membawa nama saya ke depan dengan menerbitkan empat single tidak termasuk lagu raya dan lagu cover setakat ini.

“Saya bersyukur perjalanan dalam bidang seni dipermudahkan dengan restu ibu yang tidak pernah jemu mendoakan saya,” katanya. 

Tambahnya, dari awal dia meluahkan impian itu, ibunya merestui dan menggalakkan dia mengejar impiannya dengan menghadiri ujibakat-ujibakat yang ada. 

“Selain ibu, tidak lupa juga sahabat-sahabat saya yang banyak beri sokongan. Walaupun mereka tidak mempunyai minat sealiran dengan saya, mereka tetap menyokong dengan kemunculan dalam video-video cover dan parodi saya. 

“Sebenarnya, saya aktif buat ‘cover’ lagu waktu lepas SPM lagi. Saya tidak jemu ‘tag’ dan ‘mention’ syarikat-syarikat rakaman dan letak pelbagai hashtag untuk bagi mereka sedar akan kewujudan saya. 

“Alhamdulillah…saya dapat tawaran dari sebuah syarikat pengurusan artis yang betul-betul berminat untuk menguruskan kerjaya saya dalam bidang seni.

“Buktinya, apabila pemiliknya sanggup memandu lewat malam dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menawarkan kontrak kepada saya untuk menjadi artis di bawah syarikat beliau,” katanya. 

Kepuasan terserlah di wajah Ahmad Syafiq apabila kini berjaya bernaung di bawah syarikat pengurusan ‘Trend Music’ sejak hujung 2019. 

“Kalau difikirkan, penantian saya untuk ada single sangat singkat kerana saya mula menyanyi pada usia 16 tahun. Saya bermula dari bawah secara belajar sendiri kerana tiada kawan atau keluarga saya yang ada sama minat atau bakat. Syukur, kemudiannya saya dapat menghadiahkan single ciptaan sendiri kepada peminat pada tahun 2020,” katanya. 

Ahmad Syafiq berkata, tempoh masa empat tahun menunggu tidak terlalu lama kerana ramai penyanyi-penyanyi lain yang lebih lama berusaha darinya belum ditakdirkan mempunyai rezeki. 

“Saya pula hanya baharu dua tahun bergelar artis rakaman, namun dah dapat peluang menggantikan tempat Hafiz Suip di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 untuk persembahan lagu “Berakhirlah Pencarianku” bersama dengan Wani Kayrie. Harapan saya sangat besar untuk mengukir nama dalam industri muzik Malaysia”.

Single terbaru Ahmad Syafiq, ‘Bila Hatiku Rindu’ terbitan Nova Music bakal dilancarkan pada 14 Februari ’25 bersempena dengan hari menyambut cinta yang bersesuaian dengan penceritaan lagu tersebut yang berlandaskan cinta. Siaran perdana video muzik rasmi lagu tersebut juga akan berlangsung pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=Cu1Z2fYOw4I . – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button