
Siti Nurhaliza Bakal Jayakan Persembahan Di Australia Oktober Ini
Penyanyi no.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal menjayakan satu persembahan konsert di Adelaide, Australia pada bulan Oktober ini.
Perkara itu diumumkan penyanyi kesayangan ramai itu menerusi laman Instagramnya pagi tadi.
“Pada 18 Oktober 2019, saya bakal mengadakan konsert khas di Festival Theatre, Adelaide, Australia bersempena OzAsia Festival.
“Kepada para peminat saya, Sitizoners di mana saja anda berada, jom kita ke Adelaide. Kepada peminat-peminat saya di Australia, inilah masanya anda bertemu dengan saya. Jumpa di Adelaide Oktober nanti,” tulis Siti.
Tiket konsert yang dijual dari harga RM225 hingga RM430 boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.ozasiafestival.com.au/events/sitinurhaliza.
Awal tahun ini, Siti telah berjaya melakukan persembahan terbaik menerusi tiga konsert jelajah berskala besar yang berlangsung di Kuala Lumpur, Jakarta dan Singapura bersempena meraikan ulang tahun ke-25 beliau berkecimpung dalam bidang seni. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Black Pepper Productions