Siti Saleha Doa Dikurniakan Rezeki Timang Cahaya Mata Tahun 2020
Setiap yang bergelar suami isteri pastinya ingin menimang cahaya mata yang pastinya dapat memeriahkan lagi kebahagiaan rumah tangga. Hal ini tidak terkecuali buat pelakon jelita, Siti Saleha.
Menurut Saleha, sempena kedatangan tahun 2020 ini, dia berharap akan dikurniakan rezeki menimang cahaya mata selain lebih berjaya dalam karier seninya.
“Doakan saya diberikan rezeki (menimang anak). Kalau ada rezeki, InsyaAllah di tahun 2020, it’s a big year,” katanya ringkas kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran drama bersiri Black terbitan Viu Original Series yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur semalam.
Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharom, 29, mendirikan rumah tangga dengan seorang penjawat awam, Ahmad Lufti Azhar pada 28 Julai 2017.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan seni terbaharu, Saleha berkata dia akan kembali sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 7 Hari Mencintaiku musim kedua yang akan bermula pada Januari ini.
“Selepas ini saya akan kembali semula ke set penggambaran untuk drama sequel slot Akasia, 7 Hari Mencintaiku. Untuk kali ini penggambaran dijadualkan dari bulan Januari sehingga April yang mana ia melibatkan sebanyak 33 episod.
“Kesemua pelakon asal drama ini dikekalkan dan diharapkan ia turut mendapat sambutan seperti mana musim pertama dahulu,” ujarnya yang akan sekali lagi bergandingan dengan Shukri Yahya menerusi drama yang pernah mencipta fenomena tersendiri itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penglibatannya dalam drama Black, Saleha menyifatkan jalan cerita naskhah tersebut suatu yang unik dan lain daripada kebiasaan drama tempatan lain yang pernah dihasilkan.
“Black merupakan adaptasi daripada drama Korea Selatan. Skrip drama ini menarik minat saya yang mana ia mengisahkan tentang kisah bunian yang hidup dalam kalangan masyarakat. Ia digarap dengan cukup moden dan saya suka bekerjasama dengan produksi Viu yang saya sifatkan sebagai cukup profesional. Ini juga merupakan kali pertama saya bekerja untuk drama slot digital. Ternyata ia sangat menarik kerana tiada batasan daripada segi skrip dan dialog yang dilontar,” katanya.
Black yang diarahkan Razaisyam Rashid dan Krol Azri turut dibintangi Kamal Adli, Nabila Huda, Khir Rahman, Zoey Rahman, Josiah Hogan dan Riz Amin.
Lapan episod Black akan ditayangkan pada 17 Disember (empat episod pertama) dan 24 Disember (empat episod terakhir) ini menerusi saluran Viu.
Black mengisahkan tentang seorang detektif, Malik yang telah mati ditembak yang mana jasadnya kemudian dihuni makhluk bunian yang dikenali sebagai Black. Black kemudiannya bekerjasama dengan seorang gadis, Sofia yang mempunyai kebolehan untuk melihat ramalan kematian orang di sekelilingnya. Mereka bekerjasama untuk merungkai kes kematian 20 tahun lalu yang mempunyai kaitan di antara masa lampau kedua-dua mereka. – KopiPlanet.com