Filem

Situasi Ketidaktentuan Pasaran Filem Pasca PKP Covid-19

Oleh: Onn Norshal Hamzah
(Kolumnis KopiPlanet.com)

Apabila pawagam dibenarkan operasi pada 1 Julai lalu, industri pawagam memulakan langkah dengan penuh berhati-hati melalui pengamalan norma baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.Boleh dikatakan kebanyakan rangkaian pawagam tidak menggunakan kapasiti secara optimum bagi langkah awal menguji sokongan masyarakat.

Apa yang dapat diperhatikan ialah masyarakat secara umumnya masih menunjukkan minat untuk kembali ‘meramaikan’ pawagam, namun dalam masa yang sama tetap berhati-hati dengan keadaan semasa yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.

Ini dibuktikan dengan pencapaian filem Train To Busan: Penisular yang ditayangkan secara serentak seluruh dunia pada 15 Julai lalu yang berjaya mencapai kutipan pecah panggung RM3 juta dalam tempoh seminggu tayangannya di Malaysia.

Ini memberikan indikasi bahawa walaupun dalam pelaksanaan norma baharu yang hanya membenarkan operasi pawagam dengan penjarakan sosial, sokongan penonton tetap tidak pernah pudar. Sehingga kini, catatan tidak rasmi untuk filem tersebut telah mencapai kutipan kasar di Malaysia sebanyak RM8 juta.

> Baca: Isu Lesen Umpama ‘Bom Jangka’ Dalam Akta 244 FINAS

Umumnya, budaya sokongan ini tetap kekal berpandukan kepada apakah ‘sajian’ yang ditawarkan untuk tontotan di pawagam. Ini bermakna, penonton bukan secara melulu untuk ‘menyokong’ dengan kembali ke pawagam, tetapi mereka akan melihat filem-filem yang ditayangkan.

Jika melihat secara umumnya, berpandukan prestasi pasaran semasa penonton tidak begitu teruja dengan pelbagai promosi seperti jualan tiket rendah dan sebagainya untuk tayangan semula filem-filem yang pernah ditayangkan di pawagam sebelum ini.

Ternyata faktor filem masih tetap menjadi nadi sokongan. Ini terbukti apabila usaha beberapa pengedar filem termasuk studio utama berpengkalan di Amerika Syarikat yang menawarkan beberapa siri tayangan semula atau re-run screening.

Antaranya seperti filem Bloodshot, Fantasy Island, Bad Boys 2, Train To Busan Extended Version, Baaghi dan beberapa filem lain yang ternyata kurang mendapat sambutan menggalakkan. Kesimpulannya, sokongan dan sambutan penonton untuk program siri tayangan semula ini amat mengecewakan.

Bagi filem tempatan, filem pertama yang akan masuk ke pawagam pada pasca PKP Covid 19 ini ialah Syif Malam Raya terbitan Ray Theme Sdn. Bhd. yang telah ditayangkan sejak 30 Julai lalu bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidiladha.

Sebanyak 50 pawagam dijadikan taruhan sebagai menguji sokongan penonton terhadap filem tempatan. Walaupun ini satu percubaan yang agak unik bagi Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS yang mungkin bakal dijadikan perbahasan, memandangkan ini kali pertama filem yang pernah ditayangkan melalui saluran alternatif Astro First diwajibkan penayangan di pawagam.

Melihat kepada situasi ini, ia mungkin boleh dijadikan kayu pengukur dan strategi untuk menilai pasaran tempatan industri perfileman, terutama dalam keadaan situasi ketidaktentuan pasaran filem pasca PKP Covid-19 di Malaysia.

Buat masa ini, masih banyak yang perlu diperhatikan kerana satu kepastian bahawa bukan sahaja pasaran filem di Malaysia, malah di seluruh dunia akan mengalami dilema dan bakal mencipta kelainan.

Kita sama-sama nantikan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button