
Pengarah U-Wei Haji Shaari mengakui tertarik untuk kembali ke kerusi pengarahan teater selepas membaca skrip Pokok hasil tulisan bekas pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar.
Menurut pengarah itu, dia sudah lama ternanti-nantikan karya terbaharu Johan yang sememangnya cukup berbakat dalam bidang penulisan.
“Saya sebenarnya sudah terbiasa dengan naskhah-naskhah bermutu hasil karya Johan. Karyanya sarat dengan watak-watak keperimanusiaan yang cukup bagus untuk digarap menjadi sebuah pementasan teater.
“Bagi saya skrip yang bagus bukan hanya untuk dibaca sahaja sebaliknya ia juga sesuai untuk dipertontonkan menerusi pentas teater,” katanya kepada KopiPlanet.com.
U-wei ditemui pada majlis sidang media teater Pokok yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Teater pokok yang diterbitkan Balang Rimbun Sdn. Bhd ini akan dipentaskan di Auditorium DBP bermula dari 7 hingga 16 Disember ini.
Teater ini menggabungkan hanya empat pelakon utama iaitu Haliza Misbun, Ebby Saiful, Rahim Jailani dan Buyung Zasdar.
Mengenai pemilihan pelakon, U-wei mengatakan dia sangat teruja untuk bekerja dengan pelakon-pelakon yang cukup berpengalaman dalam bidang seni lakon teater.
Tiket-tiket berharga RM30 dan RM50 boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com bermula 12 November ini.
Pokok mengisahkan mengenai kehidupan sepasang suami isteri, Darwis dan Mardiah yang tinggal di sebuah rumah kecil di pinggir hutan. Rumah mereka dipayungi oleh pokok rakrasa yang bukan sahaja melindungi tetapi juga mengancam keselamatan mereka.
Di sebalik itu, mereka turut berhadapan konflik apabila pemilik rumah yang disewa mereka, Tuk Kaya menaruh hati terhadap Mardiah sehingga membuatkan wanita itu berasa tidak senang dengan perkara tersebut. – KopiPlanet.com