
Pelakon Sofi Jikan Direman Tiga Hari Isu Positif Dadah
Pelakon terkenal Sofi Jikan telah ditahan reman selama tiga hari bermula pada hari ini berikutan dakwaan penyalahgunaan dadah.
Keputusan tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairol Azhar Mohd Ishak.
Sofi akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pelakon berusia 47 tahun itu dibawa ke kompleks mahkamah pada jam 11.25 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna oren serta memakai penutup hidung.
Sofi kemudiannya dibawa keluar tepat jam 11.50 pagi sebaik perintah reman dikeluarkan terhadapnya.
Pelakon berkenaan didapati positif dadah selepas menghadirkan diri ke Balai Polis Mutiara Damansara bagi memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh aktor, Datuk Farid Kamil yang mengaitkan dirinya sebagai antara tiga individu yang meletakkan dadah dalam minuman dan rokoknya.
Sofi yang ditemui pihak media selepas tempoh remannya diperdengarkan berkata ringkas, “Ini satu pengalaman yang sangat menarik, Alhamdulilah.”
Selain Sofi, antara nama yang turut dikaitkan dalam laporan yang dibuat Farid ialah seorang yang bergelar pengarah dan seorang penyanyi R&B yang popular sekitar 80-an. – KopiPlanet.com