
Soma Tampil Dengan Buah Tangan Baharu Aku Tetap Raya, Sarat Mesej Kegembiraan & Kehangatan Syawal
Penyanyi baharu tanah air, namun penuh berpengalaman, Soma atau nama aslinya Rosmah S. Sengari @ Basar, mengadakan majlis berbuka puasa “Iftar Media Gathering” di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media atas sokongan berterusan mereka terhadap perjalanan seninya.
Acara istimewa ini bukan sahaja menjadi medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi turut menyaksikan pelancaran rasmi lagu Raya terbaharu Soma, “Aku Tetap Raya,” serta video muzik (MV) rasmi lagu tersebut.
“Aku Tetap Raya” Tampil Sebagai Lagu Raya Terbaharu
Lagu Aku Tetap Raya merupakan hasil ciptaan Belle Fattah, Adinda Amiro dan Soma sendiri. Sarat dengan mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal, lagu ini menampilkan melodi yang ceria serta lirik yang mencerminkan kemeriahan dalam menyambut Aidilfitri tidak lama nanti. Soma berharap lagu ini dapat memberikan keceriaan dan menjadi lagu pilihan peminat sepanjang musim perayaan ini.
MV Menampilkan Datuk Khadijah Ibrahim & Zahnita
Menariknya, MV rasmi Aku Tetap Raya turut menjanjikan sesuatu yang istimewa iaitu penampilan khas penyanyi legenda tanah air, Datuk Khadijah Ibrahim, yang menjadi idola serta sumber inspirasi buat Soma dalam dunia nyanyian dan hiburan. Selain Datuk Khadijah, MV ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Zahnita, model terkenal Malaysia yang kini kembali aktif dalam industri seni.

Iftar Penuh Makna Bersama Rakan Media
“Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sekadar pelancaran lagu dan MV rasmi, tetapi juga peluang untuk saya berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan seni saya. Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, ‘Perjalanan’. Saya harap lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini!” kata Soma penuh ceria.
Perjalanan Seni Yang Semakin Bersinar
Soma baharu-baharu ini melancarkan album sulungnya berjudul “Perjalanan” yang memuatkan lima lagu, termasuk tiga buah karya istimewa ciptaan komposer tersohor, Allahyarham S. Atan. Album ini mendapat sambutan positif dari peminat muzik tempatan, memperkukuhkan lagi nama Soma dalam industri.
Dengan pelancaran Aku Tetap Raya dan video muziknya, Soma berharap lagu ini dapat menghangatkan suasana perayaan dan memberi keceriaan kepada peminat muzik tempatan.
Pelancaran Di Semua Platform Digital
“Aku Tetap Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music bermula 14 Mac ini. – KopiPlanet.com