EventHiburan

SoundValley Festival Kembali Dianjurkan Sempena Malaysia Autoshow 2023


SoundValley Festival, persembahan yang lazimnya diadakan seiring Malaysia Autoshow anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sekali lagi kembali berkolaborasi bersama Panggung Asia & RSVP Media Sdn. Bhd untuk penganjuran edisi ketiga pada 6 dan 7 Mei 2023 di MAEPS Serdang!

SoundValley 2023 menghimpunkan artis ternama tanah air – Aina Abdul, Lah Ahmad, Boboy, Kmy Kmo, 6ixthSense, Chombi, Khalifah dan XPDC, membawakan persembahan terhebat mereka dalam satu suasana yang digabungkan dengan ekosistem automotif.

Menariknya, ia gabungan pameran kenderaan di Malaysia Autoshow disatukan dengan persembahan muzik – dan menjadi simbolik di mana muzik tidak dapat diasingkan daripada perjalanan kita dari satu tempat ke satu tempat.

“Menjadi lumrah kita semua mendengar muzik di radio atau aplikasi podcast dan muzik melalui telefon bimbit semasa kita memandu. Oleh itu, penganjuran konsert SoundValley sejajar dengan penganjuran Malaysia Autoshow menjadi satu kemestian yang semulajadi. 

“Kami mengalu-alukan persembahan dari artis-artis tanah air untuk menghiburkan pengujung sekali lagi di MAEPS pada bulan Mei ini”, kata Ts. Nizmar Mohd Nazar, Ketua Pegawai Maklumat MARii.

Sementara itu, Penganjur SoundValley Festival yang juga Pengurus Panggung Asia, Haris Baba berkata, penganjuran festival kali ini cukup istimewa kerana menggabungkan barisan penyanyi hebat yang berlainan genre dalam satu pentas.

“Penonton dapat menikmati pelbagai genre muzik dalam SoundValley Festival 2023. Kami membawakan penyanyi nama besar yang cukup hebat di dalam satu pentas. 

“Kiranya penonton beruntung mereka dapat menyaksikan persembahan daripada beberapa orang penyanyi dengan satu tiket sahaja,” ujar Haris.

Buat juara Anugerah Juara Lagu ke-37, Aina Abdul, penglibatannya dalam festival ini cukup dinanti-nantikan kerana dapat berkongsi pentas dengan penyanyi hebat lain.

“Sudah tentu saya cukup teruja apabila diundang ke SoundValley Festival 2023. Jika dilihat daripada senarai penyanyi terdapat pelbagai genre, daripada balada, rock sehingga ke hip hop. 

“Setiap penyanyi ada kehebatan yang tersendiri dan saya amat berbesar hati kerana sama-sama dapat memeriahkan festival ini,” ujar Aina.

Naqiu yang mewakili kumpulan Boboy menjelaskan, penglibatan dalam SoundValley Festival 2023 cukup bermakna buat mereka kerana inilah persembahan terbesar mereka yang pertama sejak kembali bersama pada Julai tahun lalu selepas dua dekad hilang daripada radar dunia hiburan.

“Saya dan ahli Boboy yang lain memang sangat teruja, kerana sudah agak lama kami tidak mengadakan persembahan besar seperti ini. Oleh itu, momen ini cukup istimewa buat kami dan juga peminat,” luah Naqiu.

Lebih menarik, penonton yang membeli tiket konsert secara automatik akan mendapatkan tiket ke autoshow secara percuma.

SoundValley Festival 2023 akan berlangsung selama dua hari di Malaysia Autoshow kali ini, dari 4 petang ke 11 malam. Barisan persembahan adalah seperti berikut:

Tiket berharga RM98 (Cat 3), RM188 (Cat 2), RM388 (Cat 1) dan RM1,600 (VIP) dan boleh didapatkan melalui laman online, www.ticket2u.com.my. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button