
Stacy Tampil Single Baharu Judul Khayal, Lirik Garapan Sendiri
Penyanyi Stacy atau nama sebenar, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 29, kini tampil dengan single terbaharu berjudul Khayal.
Menariknya, lirik lagu ini merupakan hasil garapan Stacy sendiri yang menggunakan nama pena, Bunga Cantik.
Menurut Stacy, dia mendapat inspirasi untuk menulis bait-bait lagu untuk ditujukan buat keluarga kecilnya yang sentiasa ada ketika di zaman susah dan senang.
“Lagu ini sebenarnya saya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah. Saya rasa semua orang pun pernah mengalami perkara yang sama, semua orang pun pernah berkhayal atau mencipta kisah fantasi di benak fikiran masing-masing sebagai ‘escapism’ untuk melupakan sebentar realiti sebenar kehidupan.
“Dalam lirik Khayal ini saya ada menulis tentang ‘biar cinta sampai ke bulan’. Sebenarnya saya tulis khas bait lirik ini untuk menggambarkan betapa besarnya cinta saya kepada keluarga kecil saya dan betapa utuhnya ikatan kami sekeluarga yang akan tetap selalu menjalani kehidupan bersama walau susah atau senang,” katanya.
Khayal merupakan lirik kedua tulisan Stacy selepas lagu Rampas nyanyian Akim & The Majistret. Lagu bergenre pop EDM ini merupakan hasil ciptaan Stacy bersama komposer Hang Nadim dan Ziin. Khayal kini sudah boleh didapati menerusi aplikasi pelantar muzik digital bermula hari ini. – KopiPlanet.com