Cerita ArtisHiburan

Suami Dakwa Nynaa Harizal ‘Diculik’ Keluarga Mentua, Pemandu Diugut Dengan Senjata Api

Suami kepada pelakon Nynaa Harizal, Mohamed Fahmi Ilyas mendakwa isterinya telah diculik bapa mentuanya sendiri, Mejar (B) Harizal Hashim ketika berada di sebuah lokasi penggambaran pada tengah malam Isnin lalu.

Fahmi berkata, isterinya dipercayai telah dibawa lari ke Johor oleh keluarga mentuanya dengan alasan untuk berubat, manakala pemandunya telah diugut dengan senjata api oleh bapa mertuanya itu.

“Ketika hari kejadian tiada sebarang masalah yang berlaku dan Nynaa menjalani penggambaran seperti biasa. Lebih kurang pukul 1.00 pagi (Selasa), dia beritahu tengah bersiap untuk pulang.

“Tidak lama kemudian dia mesej dan memberitahu keluarganya berada di lokasi penggambaran. Selepas itu saya tanya dia di mana, Nynaa cakap dia berada di dalam sebuah kereta. Saya mesej dia lagi, tetapi dah tak dibalas dan panggilan juga sudah tidak dijawab,” ujarnya.

Fahmi berkata, pada masa itu dia terus menghubungi pemandunya yang berada di lokasi penggambaran untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

Jelasnya lagi, pengawal peribadinya itu memberitahu dia tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan bapa mentuanya yang mempunyai senjata api telah mengugutnya.

“Ketika itu saya dah mula panik dan hubungi pemandu (pengawal peribadi) saya untuk tanya apa yang berlaku. Dia jawab tidak boleh berbuat apa sebab bapa mentua saya ada pistol dan akan meletup (lepaskan tembakan) sekiranya cuba dihalang,” ujarnya.

Oleh yang demikian, Fahmi yang sehingga kini tidak dapat berhubung dengan isterinya menyatakan dia telah membuat satu laporan polis di IPD Shah Alam semalam.

Jelasnya, selepas laporan polis dibuat, dia telah pergi Johor Bahru memandangkan bapa mentua itu bekerja dan menetap di negeri berkenaan, malah dipercayai Nynaa kini berada di rumah bapa mentuanya itu.

“Dalam laporan polis yang dibuat itu, saya nyatakan isteri saya telah culik memandangkan saya tiada sebarang maklumat berhubung kehilangan isteri saya.

“Selain itu, dalam laporan tersebut juga mengaitkan tentang senjata api dan ugutan yang telah dibuat terhadap pemandunya itu,” ujarnya.

Pada masa sama, Fahmi turut meluahkan rasa hairan memandangkan keluarga mentuanya boleh menghubunginya bila-bila masa sekiranya mahu membawa isterinya itu berubat.

“Kenapa nak bawa lari macam ni, kenapa tak cakap je. Saya sendiri tak faham, telefon saya sentiasa on. Mereka boleh sahaja hubungi dan ajak berbincang,” jelasnya.

Mengakui hubungannya dengan keluarga mentua tidak ada masalah, namun Fahmi mengakui hubungan bersama ibu mentuanya tidak begitu baik sejak awal.

Selain itu, dia juga enggan mengulas dengan lebih mendalam apabila dikatakan keluarga mentuanya itu mengalami masalah kewangan.

“Saya tak rasa ia satu tindakan yang betul untuk terangkan perkara ini agar tidak memalukan mana-mana pihak, tetapi saya akui kewangan juga menjadi isu sejak awal,” ujarnya.

Sehubungan itu, Fahmi memberitahu dia mahu berjumpa dengan keluarga mentuanya dan sama-sama duduk berbincang bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

“Saya ada dapat berhubung dengan ayah mentua saya dan dia ada berkata ingin berjumpa. Cuma waktu dan tempat masih belum ditentukan lagi.

“Mengenai keadaan terkini Nynaa pula, saya sendiri pun tidak tahu. Namun saya percaya mereka pasti tidak akan mencederakan anak sendiri,” luahnya.

Fahmi dan Nynaa atau pemilik nama sebenar Nurul Hanynaa Harizal mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
2
+1
2
+1
1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button