Cerita ArtisHiburan

Suara Lebaran Kita Tampilkan Kolaborasi Mantap Hael Husaini & Dolla

Tatkala negara memasuki fasa endemik, Ramadan kali ini nyata berbeza. Manakan tidak, dua label hiburan terkenal tanah air, Rocketfuel Entertainment dan Universal Music Malaysia, bergabung sekali lagi utnuk mempersembahkan sebuah single Raya istimewa berjudul Suara Lebaran Kita.

Menariknya, ia kolaborasi mantap di antara penyanyi terkenal, Hael Husaini dengan girl group popular, DOLLA, yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

“Jika sebelum ini lagu-lagu Raya saya selalunya keseorangan, bagi kali ini saya hendak ‘berteman’ pula, jadi saya menyapa DOLLA di media sosial.

“Kemudian mereka memberi respon baik, jadi terus saya katakan ‘hello, jom masuk studio!’” jelas Hael bagaimana kolaborasi ini bermula.

Lagu Raya rancak dalam nuansa pop dansa ini ternyata mempunyai feel yang moden namun masih mengekalkan ‘bunyi’ kemeriahan sambutan Hari Raya itu sendiri.

“Lagu ini saya ciptakan bersama-sama Ezra Kong dan kami ada memasukkan elemen K-pop yang sememangnya sinonim dengan DOLLA tetapi telah ‘dimelayukan’, dan pendengar harus mendengarnya sendiri,” tambah Hael dalam nada teruja.

Walaupun sibuk dengan jadual kerja yang padat, kumpulan DOLLA masih sempat merakamkan single Raya ini bersama Hael kerana bagi mereka peluang sebegini jarang-jarang berlaku, apatah lagi apabila pelawaan tersebut datangnya dari seorang yang bernama Hael Husaini.

“Sudah tentunya kami sangat teruja dan terkejut apabila artis sehebat Hael ingin berkolaborasi dengan DOLLA, dan single ini merupakan lagu Raya kedua dari DOLLA dan pertama kalinya berkolaborasi dengan artis lain.

“Kami serasi bekerja dengan Hael dan Ezra kerana ada chemistry, proses rakaman di studio mengambil masa selama 5 jam sahaja disebabkan bimbingan mereka berdua yang sungguh profesional. Walaupun lagu ini agak berbeza dengan genre yang biasa kami bawakan, namun melodinya mengasyikkan, unik, dan quirky,” kongsi Sabronzo.

SUARA LEBARAN KITA menceritakan tentang perasaan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang dambakan kemeriahan sambutan Hari Raya bersama keluarga dan teman-teman sebelum bencana COVID-19 melanda dunia, dan akhirnya pada tahun ini, kita dapat bersua semula dengan wajah-wajah yang telah lama kita rindui.

Apabila dua nama besar industri muzik Malaysia saling bergabung, tentunya video muzik (MV) yang bakal dilancarkan sama menarik, kata Tabby, “Konsep MV single ini sangat comel dan segar dalam suasana retro yang diselitkan dengan elemen fantasi, kami semuanya menjadi sebuah lukisan yang kemudiannya dihidupkan, dan kalau hendak tahu lagi kenalah tonton!

Kata Encik Erick Yew, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment, “Kami sememangnya sukakan kelainan, Hael Husaini dan DOLLA berjaya terjemahkannya melalui sebuah single Raya yang cukup istimewa.

SUARA LEBARAN KITA tepat menggambarkan perasaan kita seluruh rakyat Malaysia yang ingin merasai suasana sambutan perayaan seperti sediakala, semoga lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

“Bagi Universal Music Malaysia pula, tahun ini kita memang ingin memeriahkan dan menyuntik semangat untuk beraya tahun ini secara ‘all out’ setelah 2 tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman, dan lagu ini amat bersesuaian untuk kemeriahan sambutan hari raya dan juga kombinasi yang terbaik untuk tahun ini” kata Anne Mukhtar, Pengurus Promosi dan Pemasaran Universal Music Malaysia.

Akhiri Syasya: “Pada tahun ini, saya dan Sabronzo bercadang mengajak Tabby dan Angel beraya di rumah kami kerana tidak dapat berbuat sedemikian sebelum ini.

“Selain itu, DOLLA dan Hael berharap agar peminat-peminat kami #iDOLLA dan #Haelers sukakan singleRaya ini kerana mesej kegembiraan dan kebersamaan yang ada di dalamnya, semoga Raya pada kali ini memberi seribu keberkatan dan makna buat kita semua.

Lagu SUARA LEBARAN KITA boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBOX, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button