Syafiq Kyle Terima Sekiranya Allah Tetapkan Jodoh Dengan Pelacur
Pelakon Syafiq Kyle yang sinonim dengan watak Ustaz Adam menerusi drama fenomena Nur menyatakan dia tidak menolak sekiranya sudah tertulis jodohnya adalah daripada golongan pelacur.
Menurut Syafiq, itu semua adalah kerja dan perancangan Allah SWT dan dia menerima dengan hati terbuka tentang perkara tersebut.
“Saya terima sekiranya jodoh saya dengan seorang pelacur. Bagi saya pelacur ke LGBT ke, itu semua adalah label semata-mata. Kalau kita mula label orang begitu dan begini, kita akan layan dia dengan negatif. Pelacur juga seorang manusia dan dia juga nak menjalani kehidupan macam orang normal lain.
“Label-melabel ini tidak baik, jadi mari kita berhenti labelkan orang. Sama juga seperti kita jangan sesekali labelkan sesuatu kaum itu dengan persepsi negatif,” katanya kepada KopiPlanet.com
Syafiq ditemui pada majlis sidang media Nur 2 yang diadakan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur semalam. Nur 2 yang memulakan siarannya malam tadi merupakan sequel kepada drama Nur yang menjadi bualan hangat sejak ia disiarkan tahun lalu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang harapannya untuk Nur 2 kembali menjadi fenomena seperti versi asal, Syafiq berkata dia sudah memberikan yang terbaik dan berharap penonton dapat melihat sendiri hasil kerja yang dicurahkannya untuk naskhah kali ini.
“Saya tidak akan kecewa sekiranya Nur 2 tidak mendapat sambutan hangat seperti Nur. Bagi saya, cukup saya sudah berikan yang terbaik dan seikhlas hati dalam menghidupkan watak Ustaz Adam.
“Bagi saya jika kita ikhlas dalam sesuatu perkara yang kita buat, Allah akan bagi ganjarannya juga di akhirnya nanti,” katanya lagi.
Nur 2 yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin diterbitkan Radius One Sdn Bhd. Selain Syafiq, Nur 2 dibarisi Amyra Rosli, Azar Azmi, Azhan Rani, Noorkhiriah, Raja Atiq, Fatimah Abu Bakar, Eyra Hazali dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Nur 2 ditayangkan menerusi slot Samarinda setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3. – KopiPlanet.com