
Syatilla Melvin Enggan Susahkan Produksi Biarpun Berbadan Dua
Pelakon Syatilla Melvin mengambil pendekatan tetap meneruskan kerjanya dalam drama 60 episod, Selafaz Cinta biarpun baharu sahaja mengetahui dia sedang hamil anak kedua pada ketika itu.
Menurut isteri kepada Shaheizy Sam ini, dia berbuat demikian kerana enggan menyusahkan pihak produksi sekiranya dia menarik diri pada saat akhir.
“Pada mulanya saya memang tak tahu sudah mengandung ketika menerima tawaran berlakon drama ini, tetapi setelah mengetahui tentang kehamilan ini, saya kuatkan semangat dan tetap meneruskan apa yang telah dipersetujui.
“Saya lakukan ini kerana bimbang akan menyusahkan pihak produksi sekiranya saya menolak atau membatalkan tawaran yang telah diterima,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Syatilla ditemui pada majlis pelancaran drama Selafaz Cinta di TGV One Utama, Damansara baru-baru ini. Selafaz Cinta yang diterbitkan Suhan Movies memaparkan gandingan Syatilla bersama Saharul Ridzwan dan Puteri Aishah.
Drama arahan Paly Yahya itu akan disiarkan bermula 27 November ini, jam 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).
Selafaz Cinta yang memaparkan konflik rumah tangga itu turut diserikan dengan lakonan daripada Luqman Hafidz, Aqasha, Pu Rizz, Chacha Maembong dan Riz Amin. – KopiPlanet.com