
Pelakon baharu Syazuwan Hassan dan Pauline Tan telah dipilih menjadi duta kempen Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) yang akan berlangsung dari bulan Mac hingga April ini.
Pemilihan mereka dilihat tepat dan bersesuaian dengan DFKL edisi kali ini yang akan lebih menyeluruh kepada semua penonton berbilang bangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata penganjuran DFKL kali ini membawa satu perubahan besar apabila ia buat pertama kali melibatkan keempat-empat saluran televisyen di bawah Media Prima.
“Untuk tahun ini, keempat-empat saluran tv iaitu TV3, NTV7, 8TV dan TV9 terlibat dalam penganjuran DFKL. Kami juga buka kepada pasaran berbilang bangsa yang mana setiap saluran ini mempunyai target penontonnya yang tersendiri.
“Untuk penganjuran kali kelima ini, tujuan dan matlamatnya masih sama iaitu untuk memberikan peluang kepada mereka di luar sana ketengahkan idea agar industri lakonan dapat terus berkembang dengan idea-idea yang lebih segar.
“DFKL yang sentiasa tampil dengan tema berbeza pada setiap tahun telah mengambil inisiatif untuk memilih #MasaUntukDrama sebagai tema buat tahun ini.
“Mengenai pemilihan Syazuwan dan Pauline, ia bertepatan memandangkan kami ingin mencari bakat baharu di luar sana yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa,” katanya ketika ditemui KopiPlanet.com pada majlis prapelancaran DFKL 2018 di Ara Damansara, hari ini.
Selain Syazuwan dan Pauline, DFKL 2018 turut disertai Jason Chong dan Jason Kok sebagai panel yang akan berkongsi ilmu pengarahan dan pembikinan filem.
Turut menyertai mereka sebagai panel adalah enam lagi karyawan hebat iaitu Fauziah Ahmad Daud, Eirma Fatima, Datin Diana Danielle, Fasha Sandha, Sheila Rusly dan Shahrulezad yang akan memberikan tunjuk ajar dalam dalam bengkel penulisan kreatif dan lakonan. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram TV3