Cerita ArtisHiburan

Tak Jemput Media, Nadia Aqilah Tiada Niat Sorok Majlis Kahwin

Pelakon Nadia Aqilah yang selamat mendirikan rumah tangga pada 20 April lalu menyatakan dia tidak berniat untuk merahsiakan majlis pernikahannya daripada pengetahuan peminat dan pihak media.

Menurut Nadia, 33, dia sememangnya dikenali sebagai selebriti yang tidak suka menggembar-gemburkan tentang hal peribadi dan berharap tiada pihak yang terasa hati dengan pendekatan yang diambilnya itu.

“Saya minta maaf kalau ada sesiapa yang terasa, bukan sengaja (tidak menghebohkan perkahwinan) tetapi saya memang seorang yang private dan kurang gemar berkongsi kisah peribadi.

“Suami saya pun seorang yang sangat private orangnya dan saya tidak mahu drag dia dengan perkara-perkara sebegini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Nadia ditemui pada majlis sidang media teater Bangsawan Dendam Laksamana yang diadakan di Matic, Kuala Lumpur hari ini.

Pelakon kelahiran Johor itu bernikah dengan pengarah muzik, Saiful Ridzuan di kampung halamannya di Batu Pahat dengan dihadiri ahli keluarga dan teman-teman rapat sahaja.

Ujar Nadia, memang menjadi impian dirinya untuk mengadakan majlis pernikahan dan resepsi secara kecil-kecilan bagi meraikan ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan rapatnya.

“Saya memang dah lama rancang nak adakan majlis perkahwinan di kampung halaman bertemakan 60-an, zaman-zaman Saloma. Akhirnya ia tercapai seperti yang saya mahukan. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan baik yang banyak memberikan nasihat dan membantu melancarkan majlis,” katanya yang mengikat tali pertunangan pada Oktober tahun lalu.

Antara rakan artis yang menghadiri ke majlis Nadia adalah teman rapatnya seperti Sharifah Amani, Sherry Al-Hadad, Ruzana Ibrahim, Eenaz Mokhtar, Tony Eusoff, Iedil Putra dan Nadiya Nisaa.

Menceritakan perkenalannya dengan suami yang lebih senang dikenali sebagai Duan, Nadia berkata, minat yang mendalam terhadap muzik telah menyatukan mereka berdua.

“Saya dah kenal suami sejak 2008 dan dari situ kami jadi rakan baik sebelum menjadi semakin rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berdua boleh jadi serasi disebabkan masing-masing sangat meminati muzik. Ada sahaja yang kami bualkan dan itu antara faktor-faktor yang buat saya tertarik padanya,” jelasnya.

Setelah bergelar isteri, Nadia berkata suaminya tidak pernah menghalang penglibatannya dalam bidang seni dan dia bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang sangat memahami kerjayanya.

“Suami memang terlibat dalam bidang seni, dia pun tidak menghalang saya untuk terus aktif. Malah, dia lagi beri galakan untuk saya. Selepas ini kami akan sama-sama terlibat dalam pementasan teater Bangsawan. Masa itu sahajalah kami boleh berbulan madu,” katanya secara berseloroh.

Menerusi teater Bangsawan Dendam Laksamana, para pelakon akan menjelajah ke lapan buah negeri bagi mementaskan teater di bawah arahan Pat Ibrahim itu.

Duan akan berperanan sebagai pengarah muzik manakala Nadia memegang watak sebagai Wan Anum. Selain Nadia, Bangsawan Dendam Laksamana turut dibintangi Hairi Safwan, Jay Iswazir, Anwar Rusdini, Azizah Mahzan dan Nasz Zally. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button